News_archive

Melangkah ke era baru

By Tuesday June 2nd, 2009 No Comments

BEIJING 3 Jun – Selepas 35 tahun memeterai ikatan diplomatik, hubungan Malaysia dan China hari ini melangkah ke era baru apabila pemimpin kedua-dua negara sepakat dan komited untuk memastikan ia diperkukuh dan dibawa ke peringkat lebih jauh.

Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri China, Wen Jiabao mengulangi sejarah 35 tahun lalu ketika Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein bersama Perdana Menteri republik ini ketika itu, Zhou Enlai buat pertama kali duduk bersama bagi merangka dan seterusnya mengikat kedua-dua negara dengan hubungan diplomatik.

Di dewan yang sama hari ini – Dewan Agung Rakyat – Najib dan Jiabao mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin itu kemudiannya menyaksikan majlis menandatangani perjanjian membabitkan kerajaan kedua-dua negara mengenai pelan bertindak bersama dan kerjasama strategik bagi membolehkan Malaysia dan China melangkah lebih jauh ke depan.

Ia diikuti dengan perjanjian kerjasama dalam bidang sains marin dan teknologi. Pada majlis itu Malaysia diwakili oleh Menteri Luar, Datuk Anifah Aman sementara China pula oleh Menteri Luarnya, Yang Jiechi.

Perjanjian pelan bertindak bersama dan strategik itu menyediakan pelan kerjasama komprehensif antara kedua-dua negara dalam 12 bidang.

Ia melibatkan politik, ekonomi, perdagangan dan kewangan, kebudayaan dan pendidikan, sains dan teknologi, kesihatan, pertahanan dan keselamatan, pertanian, sanitari, pelancongan, sumber manusia, tenaga, perhutanan serta kerjasama antarabangsa dan serantau.

Ia turut membabitkan pemansuhan sebahagian perjanjian mengenai visa yang mana pemegang pasport diplomatik dan rasmi tidak lagi memerlukan visa untuk berkunjung ke kedua-dua negara.

Turut ditandatangani pada majlis itu adalah perjanjian persefahaman antara Pos Malaysia Berhad dan Pos China.

Jiabao dalam ucapannya berkata, majlis tersebut dibuat di dewan berkenaan kerana ia cukup istimewa di mana 35 tahun lalu Tun Abdul Razak yang juga bapa kepada Najib bersama Enlai menandatangani komunike bersama bagi mewujudkan hubungan diplomatik Malaysia dan China.

“Masa itu Tun Abdul Razak yang berpandangan jauh mengambil langkah berani untuk menjalin hubungan diplomatik dengan China. Menjadikan Malaysia sebagai negara ASEAN pertama berbuat demikian,” katanya.

Hasilnya kata Jiabao, 35 tahun kemudian persahabatan itu telah berkembang dan usaha pemimpin terdahulu itu perlu sentiasa dikenang.

“Saya percaya antara anak dan bapa yang merupakan pemimpin Malaysia berkongsi sentimen dan persahabatan yang sama tentang China.

“Saya juga percaya perbincangan kami hari ini membuka era baru dalam perhubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara dan ia dizahirkan melalui pelan bertindak bersama dan kerjasama strategik. Persahabatan antara kita akan terus berkembang kukuh,” ujarnya.

Najib dalam ucapan balas berkata, beliau selalu percaya hubungan dua hala Malaysia dan China sebagai sesuatu yang istimewa.

Sebab itu katanya, selepas menjadi Perdana Menteri beliau menjadikan China sebagai negara pertama dilawati secara rasmi di luar ASEAN.

“Saya memberitahu Perdana Menteri Jiabao ketika perbincangan dua hala bahawa saya bukan sahaja mengikut jejak bapa saya, malah saya mahu membawanya lebih jauh sebab China merupakan negara yang membangun dengan pesat.

“Penting untuk Malaysia melihat China bukan sahaja sebagai kawan setia tetapi juga sebagai rakan dalam merangka ruang baru untuk membawa hubungan dua hala ke peringkat lebih tinggi pada masa depan,” katanya.

Katanya, generasi pertama pimpinan Tun Abdul Razak telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan merintis hubungan diplomatik dengan China, kini menjadi tanggungjawab generasi sekarang untuk membawanya lebih jauh ke depan.

Pada majlis itu Jiabao turut memberikan hadiah kepada Najib dan keluarga berupa gambar Tun Abdul Razak bersama Enlai sedang menandatangani perjanjian untuk menjalinkan hubungan diplomatik 35 tahun lalu.

Gambar itu diserahkan kepada Najib dan keluarga di mana turut hadir ialah ibunya, Tun Rahah Mohd. Noah; isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka Noryana Najwa dan Norashman Razak.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply