BlogFeatured Articles

Melahirkan Jaguh Badminton Negara

By Wednesday February 1st, 2017 No Comments

Sukan badminton adalah antara sukan paling popular di negara ini.

Alhamdulillah, Malaysia juga telah dapat melahirkan jaguh badminton sejak zaman awal kemerdekaan sehingga hari ini, yang membolehkan kita menempa kejayaan dalam pelbagai acara badminton berprestij di peringkat antarabangsa.

Malah baru-baru ini, kita semua bersama sebagai 1Malaysia bersorak gempita menyokong wira-wira badminton negara seperti Datuk Lee Chong Wei, pasangan beregu kita Goh V. Shem – Tan Wee Kiong serta Goh Liu Ying – Chan Peng Soon dan ramai lagi ketika mereka beraksi di temasya Sukan Olimpik di Rio.

Sesuai dengan status sukan badminton sebagai sukan kegemaran semua, Kerajaan sentiasa memberi sokongan yang kuat untuk membangunkan sukan badminton negara ke tahap yang lebih tinggi lagi.

Namun, kita akui terdapat kekurangan dalam beberapa aspek, seperti penyediaan atlet pelapis dalam kategori perseorangan lelaki untuk menggantikan jaguh badminton sedia ada seperti Datuk Lee Chong Wei apabila beliau memutuskan untuk bersara.

Selaras dengan itu, Akademi Badminton Malaysia telah diwujudkan bagi memacu lagi perkembangan sukan badminton dan melahirkan pemain pelapis berprestasi tinggi. Kompleks ini dilengkapi dengan fasiliti badminton bertaraf dunia, ia mula dibuka secara berperingkat untuk latihan dan penyediaan atlet negara.

Saya yakin dengan adanya kemudahan yang serba modern dan lengkap ini, menyaingi malah mungkin lebih canggih daripada beberapa kompleks sukan antarabangsa di negara lain, akan dapat menyuntik semangat para pemain untuk berusaha lebih kuat bagi menempa kejayaan.

Sekiranya ada kekurangan dan keperluan lain yang diperlukan pemain, bincang dan kemukakan kepada pihak pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Insya-Allah, di mana mampu dan boleh, Kerajaan akan membantu.

Selain itu, saya juga berharap pihak BAM dan Kementerian Belia dan Sukan serta akademi badminton lain sama ada swasta atau Kerajaan mengambil langkah proaktif terus berusaha mengenal pasti dan mencungkil bakat baharu.

Masih banyak yang perlu kita lakukan untuk memastikan sukan badminton Malaysia terus cemerlang di masa hadapan, dan usaha untuknya perlu kita mulakan dari sekarang. Akademi Badminton Malaysia adalah permulaan dan pemangkin kepada usaha ini, agar kita mampu melahirkan lebih ramai jaguh badminton negara, Insya-Allah.

(Gambar Bernama)

Leave a Reply