News_archive

MCKIP Bakal Tingkat Dagangan Dua Hala Malaysia-China

By Thursday April 19th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) — Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), yang dijangka bermula dalam tempoh enam bulan akan datang, bakal meningkatkan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

MCKIP merupakan satu inisiatif kerajaan dengan kerajaan, diumumkan bagi timbal balas Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 April tahun ini.

Taman seluas 607 hektar itu terletak dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di bandar Gebeng, Kuantan, Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutif ECER, Datuk Jebasingam Issace John berkata MCKIP akan menyediakan peluang-peluang baharu bagi ahli perniagaan Malaysia dan juga mewujudkan peluang pekerjaan untuk ekonomi tempatan.

“Ia akan mewujudkan peluang keusahawanan baharu bagi penduduk tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana.

“Kita seharusnya dapat melihat kesan positif dari taman itu dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Komponen utama taman perindustrian itu termasuk plastik, logam, elektrik dan elektronik, produk pengguna dan tenaga boleh baharu, kata Jebasingam.

“Perniagaan dan ahli perniagaan Malaysia dari kawasan itu kini akan dapat mengadakan usaha sama dengan rakan kongsi Cina untuk membangunkan industri-industri ini,” katanya.

Beliau juga berkata taman perindustrian tidak “berdiri sendiri”, tetapi dalam bandar Pelabuhan Kuantan yang meliputi 30,000 hektar hab logistik dan perindustrian bersepadu.

“Sebelum ini kami mendapat Pelabuhan Kuantan, Kluster Industri Minyak Sawit, Kluster Petrokimia dan Taman Halal di sini. Ia bukan hanya mengambil kemudahan yang baru,” katanya.

Jebasingam berkata selain kerjasama antara perniagaan Malaysia dan China, pelabur-pelabur asing yang lain juga dialu-alukan untuk mengadakan usaha sama dengan perniagaan tempatan.

MCKIP pada dasarnya adalah satu inisiatif sektor swasta, dengan kerajaan persekutuan berperanan sebagai pemudah cara.

Kuantan telah dipilih untuk projek berkenaan kerana ia mempunyai pelabuhan yang menghadap Laut China Selatan, yang mempunyai hubungan terus ke pelabuhan laut dalam Qinzhou, dan yang lain di wilayah autonomi Guangxi Zhuang.

Perjalanan laut antara Kuantan dan Qinzhou mengambil masa hanya tiga hari dan melalui udara, tiga jam.

Kerajaan negeri juga komited untuk pembangunan MCKIP bagi memastikan pelaksanaan segera taman perindustrian itu, terutamanya dalam hal berkaitan peruntukan tanah dan kelulusan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply