News_archive

Masyarakat Siam Di Malaysia Diharap Pertahankan Perpaduan Dan Keamanan – Najib

By Friday April 13th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap masyarakat Siam di negara ini akan terus menguatkan azam dan tekad untuk mempertahankan perpaduan dan keamanan yang dinikmati.

Beliau berkata keamanan, kestabilan serta pembangunan yang dinikmati membolehkan kerajaan melindungi setiap kaum tidak kira kaum majoriti atau minoriti.

“Sungguhpun negara ini mempunyai rakyat pelbagai kaum, berbilang agama dan budaya, kita masih berupaya mengekalkan perpaduan serta hidup dalam keadaan aman.

“Dengan itu, kita berpeluang menikmati kemakmuran di negara yang bertuah ini. Semua ini adalah hasil sumbangan semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Songkran 2012 di laman Facebook beliau hari Jumaat.

Najib turut menyingkap kembali sejarah kewujudan masyarakat Siam di Malaysia, iaitu sejak sebelum termeterainya Perjanjian Inggeris-Siam pada 1909 yang membawa kepada penyerahan negeri Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan oleh kerajaan Siam kepada Inggeris.

Justeru, apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan keempat-empat negeri itu menjadi sebahagian daripada Malaysia, masyarakat Siam masih kekal di negara ini sehingga kini.

Najib turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Songkran kepada semua rakyat Malaysia berketurunan Siam dengan harapan pada Tahun Baru ini akan memberi kesejahteraan dan kemakmuran kepada masyarakat tersebut.

“Oleh itu sempena Hari Songkran ini, saya dan keluarga berharap semua anggota masyarakat Siam akan terus menguatkan azam dan tekad mereka untuk terus mempertahankan perpaduan dan keamanan yang kita nikmati sekarang.

“Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk bekerja bagi masa depan negara yang lebih gemilang untuk kita warisi kepada generasi akan datang,” katanya.

Hari Songkran atau Tahun Baru bagi masyarakat Siam disambut pada 13 April pada setiap tahun.

Sumber : Bernama

Leave a Reply