News_archive

Masyarakat KadazanDusun Murut Diminta Sokong Najib Jayakan Konsep '1Malaysia'

By Saturday May 2nd, 2009 No Comments

KOTA KINABALU, 3 Mei (Bernama) — Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri aimeph Pairin Kitingan mengajak rakyat Sabah terutama masyarakat KadazanDusun dan Murut (KDM) supaya memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengilhamkan konsep ‘1Malaysia’.
 
Beliau berkata konsep itu menuntut kerjasama dan penglibatan dari seluruh rakyat Malaysia termasuk sokongan dari suku kaum KadazanDusun dan Murut.
 
“Masyarakat KDM mempunyai peranan yang sama penting seperti bangsa lain di negara ini untuk menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia yang menjayakan konsep ini, dan mereka perlu mengambil bahagian atas kapasiti masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Kaamatan peringkat daerah Kuala Penyu di Kampung Bundu, kira-kira 120km dari sini hari ini.
 
Pairin berkata kehadiran Perdana Menteri secara mengejut di perayaan Pesta Kaamatan peringkat Lembah Klang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) beberapa hari lepas menunjukkan bahawa beliau prihatin dan sensitif terhadap keperluan dan aspirasi masyarakat KDM.
 
Sambil menyifatkan kehadiran itu sebagai satu suntikan semangat kepada masyarakat KadazanDusun dan Murut, beliau berkata ia juga merupakan pengiktirafan kepada Pesta Kaamatan sebagai satu perayaan penting di negara ini.
 
“Di sebalik kesibukan menjalankan tugas, Najib sanggup meluangkan masa untuk merayakan Pesta Kaamatan. Ini merupakan satu petanda baik dan bukti bahawa masyarakat KDM tidak disisihkan,” kata Pairin yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Sabah (KDCA).
 
Katanya perayaan Pesta Kaamatan amat penting bagi mengeratkan hubungan silaturahim tanpa mengira perbezaan fahaman agama dan politik.

Sumber : Bernama

Leave a Reply