News_archive

Masyarakat Felda Terus Dapat Manfaat Lepas Penyenaraian FGVH Di Bursa Malaysia – Najib

By Thursday January 26th, 2012 No Comments

PADANG BESAR, 27 Jan (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat memberi jaminan bahawa masyarakat Felda akan terus menikmati segala kelebihan yang diperolehi sekarang selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) di pasaran utama Bursa Malaysia kelak.

Perdana Menteri berkata kelebihan seperti bonus tahunan dan duit raya akan terus dinikmati semua warga Felda, malah jumlahnya mungkin bertambah berbanding sebelum ini.

“Saya beri jaminan, bila Felda disenaraikan (di Bursa Malaysia), semua yang masyarakat Felda sudah dapat sebelum ini akan diteruskan.

“Saya memegang amanah Allahyarham ayahanda (Perdana Menteri Kedua Tun Razak Hussain)…saya tidak akan mengkhianati apa yang diperjuangkannya, saya tidak akan buat sesuatu yang akan mendatangkan kemudaratan kepada Felda,” katanya pada majlis Tinjauan Mesra Rakyat di Felda Chuping, dekat sini.

Katanya dengan penyenaraian di Bursa Malaysia, Felda akan menjadi sebuah komoditi bertaraf antarabangsa dan bukan lagi hanya menjadi pengeluar getah atau sawit.

Najib berkata untuk mendapatkan keuntungan yang sebenar, Felda perlu menguasai pasaran dunia, bukan hanya sekadar menjadi pengeluar.

“Kalau kita hanya jadi pengeluar sahaja, yang lain kita jual kepada syarikat multinasional, mereka yang dapat keuntungan, kita hanya dapat sebahagian kecil sahaja.

Untuk berjaya dalam perniagaan, kita tidak boleh mengharapkan orang lain tapi perlu menjadi lebih pandai dan kena berfikir bagaimana untuk mengumpul kekayaan yang besar,” katanya.

Dalam ucapannya itu, Najib turut menyampaikan berita baik untuk golongan peneroka iaitu mengenai ‘durian runtuh’ yang akan diagihkan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau enggan memberikan perincian mengenai bentuk atau jumlah durian runtuh itu dan akan membuat pengumuman rasmi mengenainya kemudian.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan peruntukan RM150,000 kepada setiap masjid di Felda Chuping, Felda Mata Ayer dan Felda Rimba Mas dekat sini selain memperuntukkan RM450,000 lagi untuk menambah baik longkang di ketiga-tiga felda berkenaan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply