BlogFeatured Articles

#MariBerjumpaRamadan 2017

By Monday June 12th, 2017 No Comments

Kuasa media sosial tidak boleh dipandang rendah. Lebih 20 juta rakyat kita merupakan pengguna media sosial dan saya percaya ini menjadikan media sosial satu platform penyebaran maklumat yang sangat efektif. Twitter, Facebook, Instagram dan banyak lagi platform lain, semuanya membenarkan kita mengemas kini status dan maklumat secara real time.

Selain itu, saya juga berupaya untuk berinteraksi dan mendekati rakyat lebih-lebih lagi orang muda yang rata-ratanya pengguna media sosial tanpa batas-batas protokol. Melalui program #MariBerhubung yang dilaksanakan sejak 2014, ramai pengguna dan nama-nama besar media sosial yang telah saya dekati ketika sesi-sesi santai di mana kami berbincang berkenaan isu-isu semasa dan mereka juga berpeluang untuk memberi pendapat serta maklum balas secara terus kepada saya.

Alhamdulillah majlis berbuka #MariBerjumpaRamadan hari ini agak istimewa kerana saya dan isteri ditemani rakan-rakan online yang antaranya sudah lama saya tidak berjumpa. Ramai yang hadir, antaranya Datuk Aznil Haji Nawawi, selebriti media sosial Wak Doyok, pereka fesyen Fuzana Mokhtaza, pengasas Kilang Bateri di Johor, Johan Ropi, dan aktivis masyarakat Kuan Chee Heng yang terkenal dengan usaha beliau untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan ke hospital dengan menawarkan khidmat pengangkutan pada kadar 10 sen sahaja. Kuan Chee Heng juga merupakan salah satu contoh baik semangat 1Malaysia kerana beliau mengamalkan prinsip buta warna dalam membantu mereka yang memerlukan. Syabas!

Turut memeriahkan majlis adalah ikon-ikon Negaraku yang bukan sahaja wira bagi saya malah seluruh rakyat Malaysia. Antaranya ikon sukan, ikon filem dan ikon aktivis OKU dan seorang ikon wanita yang banyak membantu kanak-kanak yang memerlukan walau sedang berjuang melawan kanser. Rakan-rakan artis yang telah bersama saya ketika dialog TN50 juga hadir. Suasana yang cukup meriah dan saya gembira dapat bertanya khabar dengan rakan-rakan online yang hadir tadi.

Saya dan isteri juga gembira dapat meraikan 60 anak-anak dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) dan cukup terharu apabila mendengar rakaman ucapan wakil pelajar. Kepada adik Nurlaila Sari dan anak-anak di SBJK, percayalah bahawa kerajaan akan terus komited untuk menjaga kebajikan anda semua. Insya-Allah saya dan keluarga akan doakan kejayaan anak-anak semua dunia dan akhirat.

Dalam ucapan saya tadi, saya telah mengambil peluang untuk mengingatkan rakan-rakan online akan peranan mereka sebagai pengguna media sosial. Sebarkanlah berita-berita positif berkenaan negara dan janganlah terjebak dalam penyebaran cerita-cerita negatif.

Sesungguhnya tanggungjawab sebagai pengguna media sosial ini besar kerana anda mampu mempengaruhi masyarakat. Gunakanlah pengaruh yang ada untuk membantu menyemai semangat cinta kepada negara. Saya berharap akan ada lebih ramai pengguna media sosial seperti Dr Abdul Rahman yang telah memilih untuk mengingatkan masyarakat berkenaan usaha-usaha dan polisi-polisi kerajaan. Perkongsian beliau berkenaan caj perkhidmatan penjagaan kesihatan yang masih tidak berubah sejak berpuluh tahun dahulu telah menjadi viral di Facebook.

Insya-Allah jika semua memainkan peranan dan tanggungjawab, saya yakin kita akan berjaya lahirkan sebuah masyarakat yang positif dan saling menyayangi.

Leave a Reply