News_archive

Mari Bersama-sama Saya Dalam Mentransformasi Malaysia, Kata PM

By Thursday April 12th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) — Menyatakan beliau secara sendirian tidak mampu membina masa depan Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan beliau dalam perjalanan untuk melakukan transformasi di negara ini.

“Dalam semua usaha kami, kami berpegang kepada prinsip bahawa di bawah langit Malaysia, tiada masyarakat akan dipinggirkan,” katanya dalam blog beliau 1Malaysia.com.my sempena Tahun Baru kaum India dan Vaisakhi.

Masyarakat Tamil Malaysia akan menyambut tahun barunya “Putthandu” esok manakala masyarakat Malayali akan menyambut “Vishu” pada Sabtu.

Dan pada Sabtu, masyarakat Sikh Malaysia juga akan menyambut “Vaisakhi”, hari bertuah sempena hari kelahiran “Khalsa.”

Najib berkata kerajaan sentiasa membabitkan rakyat secara langsung dan melaksanakan pelbagai program untuk melakukan transformasi di negara ini.

“Kerajaan juga komited yang menunaikan semua janji kami kepada masyarakat India, dan kami telah melakukan semua itu sejak tiga tahun lepas.

“Hasilnya amat jelas dan impaknya adalah positif,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus memainkan peranan sebagai rakan kongsi tulen masyarakat India dan “bersama-sama, kita akan memastikannya membuahkan hasil yang secara langsung akan memperbaiki kualiti hidup kaum India Malaysia.”

Najib berkata dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia, masyarakat India Malaysia juga memainkan peranan penting dalam berusaha bersama-sama dengan kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi rakyat.

“Dalam membina masa depan yang penuh dengan harapan untuk keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita, mari kita terus membina perkongsian ini berlandaskan kepercayaan atau “nambikei”,” katanya.

Najib dalam perutusannya itu turut mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru kepada semua penganut Hindu dan Selamat Menyambut Vaisakhi kepada masyarakat Sikh.

Sumber : Bernama

Leave a Reply