Manjawab Ahli Parlimen Subang (Terjemahan).Terjemahan dari post Najib…

By Sunday November 29th, 2020 No Comments

Manjawab Ahli Parlimen Subang (Terjemahan).

Terjemahan dari post Najib Razak
https://www.facebook.com/najibrazak/photos/a.294787430951/10157519196720952/?type=3&theater

Memandangkan Wong Chen adalah salah seorang dari beberapa pemimpin PH yang amat berminat dengan pentadbiran negara berbanding bergantung kepada propaganda untuk menyerang saya, saya akan menjawab kebimbangan beliau tentang keputusan Kementerian Kewangan untuk memperluaskan skim pengeluaran akaun 1, KWSP kepada RM10,000 bagi 8 juta pencarum.

Pertama, ketika skim diumumkan ia hanya mencakupi 600,000 ahli sahaja. Ia kemudian diperluaskan kepada 2 juta pencarum namun ia hanya melibatkan ahli aktif (dikategorikan sebagai yang masih membuat caruman untuk beberapa bulan sebelum ini) yang kehilangan pekerjaan, diberikan cuti tanpa gaji atau kehilangan pendapatan.

Bagaimanapun, pindaan kedua skim ini telah membuatkan berjuta rakyat Malaysia keciciran melibatkan mereka yang tidak lagi mencarum sejak beberapa tahun atau ahli yang yang masih aktif namun pendapatan mereka berkurangan berikutan pengurangan komisen, hari bekerja, markah perkhidmatan (lazimnya di sektor perhotelan) atau gaji pokok mereka dipotong berikutan pandemik yang kali terakhir berlaku 100 tahun lalu.

Ia juga menyebabkan berjuta ahli yang pernah mencarum sebelum ini tercicir iaitu pasangan rumahtangga yang telah meninggalkan sektor pekerjaan tahun-tahun sebelum ini namun pernah mencarum dengan KWSP. Ramai yang di dalam kumpulan ini mahu mengeluarkan wang mereka dari KWSP bagi membantu pasangan rumahtangga mereka yang kesempitan dan mungkin tidak pernah mencarum dengan KWSP kerana menjalankan perniagaan sendiri dan mempunyai jumlah yang tidak mencukupi untuk dikeluarkan dari KWSP.

Pada pandangan ekonomi makro, saya telah menyuarakan keprihatian saya terhadap saiz belanjawan 2021 yang berjumlah RM322.5 bilion iaitu hanya 2.5 peratus lebih besar dari belanjawan 2019 iaitu RM324.6 bilion ketika pentadbiran PH.

Sebab itu saya tidak yakin yang belanjawab 2021 mencukupi untuk menyelamatkan ekonomi dan kehidupan rakyat memandangkan tiada krisis Covid-19 pada 2019 (atau apa apa krisis) namun ekonomi negara lemah sehingga menyebabkan pertumbuhan KDNK susut kepada paras paling rendah sejak 10 tahun disebalik bajet yang besar oleh kerajaan PH.

Sebab itu saya mendesak pengeluaran KWSP dan lanjutan moratorium pinjaman menjadi sebahagian dari belanjawan bagi membolehkan lebih banyak wang ada di tangan rakyat bagi merancakkan ekonomi domestik dan membantu golongan memerlukan namun kerajaan terlepas pandang.

Hanya dengan suntikan RM70 bilion daripada pengeluaran KWSP ini akan meningkatkan saiz suntikan wang ke dalam ekonomi negara melalui belanjawan 2021 daripada 2.5 peratus menjadi 34.4 peratus lebih tinggi dari bajet 2019.

Anda boleh katakan motivasi kepada strategi saya ini adalah serampang dua mata, iaitu membantu mereka yang dalam keadaan mendesak dan menyelamatkan ekonomi.

Anda telah menyatakan kebimbangan adakah KWSP memilik kemampuan terhadap pengeluaran yang dijangka mencecah RM70 bilion apabila anda menulis ayat berikut:

“Jika beliau melaksanakan cadangan untuk membenarkan 8 juta pencarum mengeluarkan RM70 bilion bagi Covid-19 pada tahun depan, kita perlu mendapatkan dana tambahan RM50 bilion (RM70 bilion bagi pengeluaran Covid-19 ditolak RM20 bilion (aliran masuk bersih).

Sebenarnya, KWSP tidak perlu ‘mencari’ atau ’meminjam’ dana.

Di bawah Seksyen 25 Akta KWSP, sekurang-kurangnya 50% aset KWSP mestilah berbentuk sekuriti atau bon kerajaan. Had ini boleh dikurangkan dengan kebenaran bertulis Kementerian Kewangan.

Untuk itu, 50% daripada aset KWSP melibatkan RM940 bilion berbentuk aset cair dan pengurangan RM70 bilion hanya melibatkan 7.4% daripada saiz aset keseluruhan KWSP.

Berpandukan kepada persekitaran kadar faedah rendah beberapa tahun ini, perolehan daripada aset ini adalah rendah berbanding kadar dividen tahunan KWSP.

Ini bermakna mencairkan aset bon kerajaan ini tidak akan merendahkan dividen tahunan KWSP kerana tiada keperluan untuk KWSP mencairkan aset yang menjana perolehan tinggi seperti ekuiti, pemilikan terus dalam syarikat dan hartanah.

Untuk itu, bagi memenuhi keperluan aliran tunai bagi unjuran pengeluaran RM70 bilion, KWSP boleh mencairkan bon-bon ini ke pasaran bon sekunder di mana sudah tersedia pembelinya.

Secara alternatif, saya juga menyarankan KWSP untuk menjual bon kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi meminimakan impak pasaran bon sekunder dan menghalang sebarang kenaikan terhadap perolehan.

Di bawah peruntukan undang-undang sedia ada, BNM dibenarkan untuk membeli dan memiliki sebarang bon kerajaan sama ada secara terus daripada kerajaan atau dari pasaran sekunder.

Malah, setakat penghujung September lalu, BNM telah membeli bon kerajaan bernilai RM9 bilion.

Apabila BNM membeli bon baharu, wang baharu diwujudkan dan disuntik ke dalam ekonomi. Ini adalah satu cara peringanan kuantitatif yang diamalkan oleh banyak negara barat.

Republik Indonesia juga menggunakan cara yang sama bagi menghadapi krisis ekonomi ketika pandemik Covid-19.

Terdapat risiko inflasi yang rendah apabila BNM melaksanakan peringanan kuatitatif kerana kita sedang berada dalam persekitaran deflasi di mana Malaysia telah merekodkan inflasi negatif sepanjang tahun berikutan penyusutan permintaan dan peningkatan harga minyak akibat Covid-19.

Langkah BNM untuk memegang bon kerajaan secara sementara boleh diubah semula kerana BNM kemudian akan menjual bon yang dibeli dari KWSP ini secara beransur kepada pasaran bon sekunder atau menjual ia kembali kepada KWSP pada masa akan datang tanpa mencetuskan kejutan kepada pasaran bon tempatan.

Masih terdapat permintaan yang besar dari pelabur tempatan dan luar negara terhadap bon kerajaan Malaysia kerana kadar hasil sebenar (kadar faedah selepas ambil kira deflasi akaun) masih tinggi berbanding kepada negara-negara jiran kerana kadar faedah bank pusat kita masih lagi tinggi berbanding negara lain.

Saya juga percaya, perbezaan RM10,000 tidak banyak memberi impak kepada pesara. Sebagaimana dihitung oleh CEO KWSP, ini bersamaan dengan pertambahan RM41 sebulan bagi setiap pencarum apabila bersara.

Pertambahan atau pengurangan RM41 sebulan sudah tentu tidak banyak beri perbezaan jika dilihat secara meluas.

“11 Nov 2020: Hidup dengan RM41 sebulan”
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/640716/hidup-dengan-rm41-sebulan?fbclid=IwAR2P8P_gWwpB5zMPHRpRQvQ_mjuk-_uTfPf58uW5lQ6PTCWvvjfiBxWtND4

Tetapi asas pokok kepada cadangan saya ini adalah keyakinan saya bahawa apa yang dikeluarkan hari ini boleh digantikan secepat mungkin dengan bantuan kerajaan.

Sebagaimana telah saya jelaskan dalam Parlimen, ia boleh dilakukan dengan tiga cara:

1. Meningkatkan kembali kadar caruman selepas kita pulih dari krisis Covid-19.

2. Kerajaan boleh memberikan projek yang menawarkan pulangan lumayan kepada KWSP sebagaimana dilakukan kerajaan BN ketika saya PM melalui projek Kwasa Damansara, Battersea UK dan pemilikan 49% dalam lebuhraya PLUS.

3. Pengstrukturan dividen KWSP di mana akaun dengan jumlah yang rendah dibayar kadar dividen lebih tinggi berbanding akaun yang mempunyai baki yang tinggi.

Ini sebenarnya adalah bertentangan dengan apa yang dilakukan oleh bank komersil bagi membayar faedah kepada pendeposit di mana mereka yang mempunyai baki akaun simpanan yang tinggi dibayar dividen yang tinggi.

Langkah ke-3 perlukan pertimbangan wajar dan saya pernah nak laksanakan pada tahun 2017 namun dikekang oleh undang-undang sedia ada yang perlu dipinda terlebih dahulu di Parlimen.

Sebagaimana laporan tahunan KWSP, 0.4% pencarum memiliki lebih banyak wang berbanding 51.91% bagi kumpulan terbawah. Malah, 28,727 pencarum memiliki kira-kira RM47.2 bilion simpanan dalam KWSP, atau secara purata RM1.64 juta bagi setiap pencarum.

Memandangkan tujuan utama KWSP adalah untuk memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai simpanan mencukup bagi menghadapi hari tua, saya tak nampak sebarang alasan mengapa golongan kaya di Malaysia menikmati satu skim yang bebas risiko (wang pencarum di KWSP dijamin oleh kerajaan) dan kadar dividen yang tinggi dari KWSP setiap tahun.

Sehubungan itu, saya percaya perkongsian keuntungan lebih besar yang diraih KWSP setiap tahun perlu disalurkan kepada mereka yang mempunyai baki yang rendah supaya lebih ramai rakyat Malaysia akan dapat simpanan mencukupi bagi kegunaan hari tua berbanding mereka yang secara jelas sudah mempunyai wang yang lebih dari cukup bagi menghadapi hari selepas bersara.

Jika dilaksanakan, langkah ini akan mengurangkan jurang kekayaan antara rakyat Malaysia dan ke arah Malaysia lebih saksama.

Sebagai mengakhiri catatan ini, Malaysia bukanlah satu-satunya negara di dunia yang membenarkan pencarum mengeluarkan wang dari tabung persaraan bagi menghadapi pandemik krisis Covid-19 ini.

Negara seperti Australia, UK, USA, Peru, Chile dan India juga melaksanakan langkah yang serupa, sama ada membenarkan atau melonggarkan peraturan bagi pengeluaran awal dari skim tabung persaraan sejak krisis Covid-19 bermula.

Diharap penjelasan di atas menjawab segala persoalan anda.



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157520636925952/

Leave a Reply