BlogFeatured Articles

Manfaat Terawih di bulan Ramadan

By Wednesday June 7th, 2017 No Comments

Masa berlalu dengan pantas, tanpa disedari sudah hampir dua minggu kita menjalankan ibadah puasa. Ini bermakna sudah hampir dua minggu juga kita telah diberi peluang untuk menunaikan ibadah terawih bersama keluarga dan rakan-rakan.

Alhamdulillah, masjid-masjid dan surau-surau juga menjadi tumpuan masyarakat beragama Islam daripada golongan muda hingga ke tua untuk menunaikan ibadah terawih. Contohnya, semalam di Masjid Pengkalan Aur, Perak, saya gembira melihat ramai jemaah yang hadir, semuanya mahu mencari keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini.

Bayangkan suasana di mana keluarga-keluarga akan bersama-sama ke masjid untuk menunaikan solat terawih bersama jiran-jiran. Inilah istimewanya bulan Ramadan, bukan sahaja kita dapat menambah baik hubungan kita dengan Allah SWT, kita juga berpeluang untuk mengeratkan tali persaudaraan sesama keluarga dan ukhuwah sesama Islam apabila kita menunaikan ibadah terawih.

Rasulullah SAW dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Muslim juga telah mengingatkan kita manfaat menunaikan solat terawih:

“Sesiapa yang mendirikan solat (Terawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.”

Oleh itu, janganlah kita lepaskan peluang ini untuk memohon keampunan Allah SWT. Saya harap kita kekal bersemangat untuk memeriahkan malam-malam Ramadan di masjid-masjid dan surau-surau, menunaikan terawih bersama jemaah-jemaah lain. Bagi yang mempunyai kekangan, tunaikanlah terawih apabila berkesempatan walau seorang diri. Insya-Allah, dengan keikhlasan dan keimanan dalam beribadat, kita akan mendapat keredhaanNya.

Leave a Reply