Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Manfaat liberalisasi kewangan merancakkan aktiviti ekonomi - Najib Razak
News_archive

Manfaat liberalisasi kewangan merancakkan aktiviti ekonomi

By Tuesday April 28th, 2009 No Comments

PEMBUKAAN pasaran yang dibuat atas nama liberalisasi ke atas sektor kewangan negara yang sering kali diperkatakan sebelum ini, menerima reaksi yang positif. Banyak pihak menjangkakan pelbagai faedah bakal diraih negara melalui dasar baru ini.

Tindakan itu dipercayai akan mampu merancakkan lagi aktiviti perniagaan, sekali gus mengembangkan ekonomi negara dengan menjadikan sektor berkenaan lebih berdaya saing dan dinamik.

Pengumuman langkah liberalisasi sektor kewangan melibatkan sistem konvensional dan Islam membawa kepentingan besar untuk industri perbankan Malaysia.

Pemberian dua lesen perbankan Islam kepada pelabur asing misalnya sejajar dengan objektif Malaysia untuk dibangunkan sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa.

Keputusan itu adalah tepat pada masanya ketika dunia semakin meyakini keupayaan kewangan Islam untuk menjadi alternatif kepada perbankan konvensional dalam menghadapi situasi globalisasi yang semakin mencabar.

Liberalisasi itu menjadi semakin penting kerana Malaysia perlu bersaing secara global apabila rantau Asia Barat masih merupakan pemain utama daripada segi kemudahan yang ditawarkan oleh bank-bank Islam.

Pengumuman yang dibuat tidak seharusnya dibimbangi kerana langkah yang diambil itu selari dengan objektif yang ditetapkan di bawah pelan Induk Sektor Kewangan yang diterbitkan pada tahun 2001 untuk melahirkan sektor kewangan yang berdaya tahan, pelbagai dan cekap.

Pada masa ini, bank-bank tempatan berupaya mengekalkan penguasaan pasaran lebih 70 peratus. Ini menunjukkan pembaharuan kewangan dan pembangunan keupayaan dilakukan sejak bertahun-tahun lamanya di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM) telah mendatangkan hasil yang menggalakkan.

Hakikat itu dapat dilihat lebih jelas dengan kedudukan bank tempatan yang mampu bertahan di sebalik berlakunya krisis kewangan sejagat kerana dimodali dengan baik dan memiliki nisbah modal berwajaran risiko sebanyak 12.5 peratus serta memiliki purata aset pada saiz RM91.6 bilion.

Tindakan membuka pasaran tempatan yang membenarkan pegangan asing sehingga 70 peratus diharap akan membawa kepada kemasukan kepakaran yang mendatangkan manfaat kepada pembangunan produk kewangan dan proses pengurusan risiko.

Ia juga akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan langsung asing (FDI).

Peningkatan ekuiti asing dalam bank-bank pelaburan, bank Islam dan pengendali takaful bukan sahaja dapat menarik ramai pelabur asing tetapi mampu menjana persaingan yang sudah lama wujud di negara ini.

Pada masa yang sama, persaingan akan mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dan mapan.

Penguasaan ekuiti asing lebih tinggi dalam perbankan pelaburan misalnya dijangka dapat menetapkan satu amalan yang lebih longgar dan memudahkan syarat pinjaman kepada pemain-pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengumuman liberalisasi, sesungguhnya merupakan pencapaian yang besar dalam usaha untuk memiliki sektor kewangan yang kukuh dan cekap selain menjadi proses untuk mengubah ekonomi negara memasuki fasa pembangunan yang seterusnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply