News_archive

Malaysia yakin dengan Abhisit

By Wednesday June 10th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA 11 Jun – Malaysia yakin langkah-langkah penegasan yang diambil oleh kerajaan Thailand pimpinan Abhisit Vejjajiva dalam pembangunan sosioekonomi mampu mengakhiri keganasan berterusan di selatan negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, begitupun aliran keganasan di selatan negara itu secara keseluruhan kian menampakkan penurunan meskipun berlaku kes terpencil seperti pembunuhan kejam 11 jemaah di Masjid Al-Furqan dekat Sungai Golok Selasa lalu.

”Apa yang penting, aliran secara keseluruhan yang menjurus kepada kadar kejadian jenayah (keganasan) semakin menurun.

”Kalau pendekatan ini (pembangunan sosioekonomi) dilakukan secara berterusan, lambat laun keganasan ini dapat ditutup (diakhiri),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Konsultasi Bajet 2010 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Perdana Menteri ditanya pandangan Kuala Lumpur terhadap keganasan terbaru di selatan Thailand yang dikejutkan dengan kes pembunuhan 11 jemaah di masjid berkenaan oleh enam penyerang bertopeng bersenjatakan M-16.

Tragedi terbaru menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari sama Perdana Menteri Abhisit melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply