News_archive

Malaysia-Vietnam Setuju Kemuka Persefahaman Had Pelantar Benua Ke UNCLOS

By Sunday May 31st, 2009 No Comments

PULAU JEJU (Korea Selatan), 1 Jun (Bernama) — Malaysia dan Vietnam hari ini bersetuju untuk mengemukakan kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) satu persefahaman berkenaan dengan had pelantar benua masing-masing di Laut China Selatan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata dengan adanya persefahaman itu bermakna kedua-dua negara yang mempunyai tuntutan terhadap kawasan di Laut China Selatan itu telah mendapat titik persefahaman untuk dimajukan ke peringkat antarabangsa berasaskan kepada undang-undang antarabangsa.

Najib berkata demikian kepada wartawan Malaysia mengenai hasil pertemuan dua hala antara beliau dengan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung di sini, Isnin.

Kedua-dua pemimpin berada di pulau peranginan ini bersama-sama para pemimpin negara Asean yang lain untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean-Korea yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Najib berkata Perdana Menteri Vietnam itu amat berpuas hati dengan tahap kerjasama dan persefahaman yang telahpun dibangunkan antara negaranya dengan Malaysia.

Katanya persetujuan yang dicapai antara kedua-dua negara itu adalah satu daripada tanda ukur kejayaan ataupun persefahaman itu.

“Jadi mekanisme penyelesaiannya kita gunakan melalui kaedah undang-undang antarabangsa. Kita ambil maklum mungkin ada sedikit sebanyak pendapat yang berbeza daripada negara China dan mungkin negara Filipina jua tetapi ini semua bolehlah dirundingkan dan akhirnya bolehlah diselesaikan mengikut kaedah dan prinsip undang-undang maritim antarabangsa,” kata beliau.

Pelantar benua di Laut China Selatan yang menjadi tuntutan beberapa negara itu termasuk Kepulauan Spratly yang dipercayai kaya dengan sumber minyak dan gas serta kedudukannya yang strategik yang dituntut seluruh atau sebahagiannya oleh China, Malaysia, Taiwan, Vietnam, Filipina dan Brunei.

Vietnam dan Malaysia ialah antara negara yang dilaporkan telah mengemukakan tuntutan mereka kepada UNCLOS, yang merupakan badan perundangan maritim dunia, tetapi China dilaporkan membantah tuntutan Vietnam dan Malaysia itu.

Ditanya sama ada Malaysia perlu menjawab bantahan China itu, Najib berkata: “…terdapat mekanisme untuk kita bincangkan dengan China dan saya tidak fikir ia akan menjejaskan hubungan dua hala kita dengan China.”

Ketika ditanya apakah kaedah pembahagian had pelantar benua dengan Vietnam itu, Najib berkata: “Kami mempunyai persefahaman yang luas berdasarkan kepada pengemukaan bersama dengan Vietnam”.

Mengenai perkara lain, Najib berkata Perdana Menteri Vietnam itu turut mengalu-alukan sekiranya Malaysia berminat untuk memajukan kawasan perindustrian di Vietnam seperti yang telah dilakukan oleh sesetengah negara termasuk Singapura.

Katanya Malaysia akan mengkaji kewajaran untuk mengambil bahagian dalam pembangunan atau pembukaan kawasan perindustrian di Vietnam.

Najib berkata Perdana Menteri Vietnam itu juga berpuas hati dengan minat syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur di Vietnam termasuk pembangunan sebuah hotel terkemuka di Hanoi yang dilabur oleh sebuah syarikat Malaysia atas nama Intercontinental Hotel.

“Beliau juga berharap saya akan melakukan lawatan rasmi ke negara Vietnam dalam masa tidak berapa lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Najib mempunyai aturcara ketat hari ini termasuk mengadakan temu ramah eksklusif dengan tiga pertubuhan media Korea Selatan iaitu majalah “Diplomacy Magazine” yang diterbitkan di Seoul, stesen TV berbahasa Inggeris, Arirang dan agensi berita Yonhap secara berturut-turut pagi ini sebelum beliau menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Vietnam.

Beliau kemudian melawat tapak resort yang dibangunkan oleh Berjaya Corporation dari Malaysia di Pulau Jeju ini sebelum menerima kunjungan hormat para pemimpin perniagaan Malaysia-Korea.

Perdana Menteri kemudian menyampaikan ucaptama pada sesi penutup Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Asean-Korea dan mengadakan sidang akhbar untuk wartawan Malaysia sebelum menghadiri sesi pertama Sidang Kemuncak Asean-Korea pada sebelah petang dan menghadiri majlis makan malam anjuran Presiden Korea Selatan Lee Myung Bak malam ini.

Mengenai lawatannya ke tapak Berjaya Resort Jeju, Najib berkata ia merupakan antara projek pelancongan yang terbesar di Asia yang melibatkan kawasan seluas 183 ekar (73.2 hektar).

Katanya resort itu bakal mempunyai sebuah pusat konvensyen dan dua buah hotel bertaraf antarabangsa dan juga pembangunan vila-vila.

“Pembangunan seperti ini menunjukkan kemampuan syarikat-syarikat dari Malaysia untuk menjadi pelaku global yang besar dan saya berharap syarikat-syarikat lain dari Malaysia juga akan mencari peluang seperti ini untuk menjadikan Malaysia sebagai antara pelabur terbesar di dunia,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply