Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Malaysia-Vietnam sepakat selesaikan isu Spratly - Najib Razak
News_archive

Malaysia-Vietnam sepakat selesaikan isu Spratly

By Sunday May 31st, 2009 No Comments

JEJU, Korea Selatan 1 Jun – Kuala Lumpur dan Hanoi bersetuju menyerahkan penyelesaian pertikaian berhubung tuntutan bertindih ke atas had pelantar benua di Laut China Selatan termasuk kepulauan Spratly mengikut undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, perkara itu disepakati dalam pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung di hotel penginapan beliau di sini pagi ini.

”Perdana Menteri Vietnam amat berpuas hati dengan tahap kerjasama dan persefahaman yang dibangunkan dengan Malaysia yang salah satu daripada tanda kejayaannya adalah apabila Malaysia dan Vietnam bersetuju mengemukakan kepada Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) berhubung tuntutan di Laut China Selatan.

”Jadi ada titik persefahaman yang berasaskan undang-undang antarabangsa. Jadi mekanisme penyelesaiannya berasaskan kaedah undang- undang antarabangsa,” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir Sidang Kemuncak Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ASEAN-Korea Selatan di sini hari ini.

Kedua-dua pemimpin berada di pulau peranginan ini bersama-sama para pemimpin ASEAN lain untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Suruhanjaya PBB mengenai Batas-Batas Pelantar Benua (CLCS) baru-baru ini meminta penghujahan daripada semua negara yang menuntut kawasan terbabit bagi memperjelaskan batas-batas luar tuntutan maritim sesebuah negara apabila pelantar benua menganjur lebih 200 batu nautika dari sesuatu garis dasar seperti pantai negara itu. Tarikh akhir penghantaran hujahan adalah pada 13 Mei lalu.

Kepulauan Spratly yang kaya dengan minyak dan gas serta kedudukannya strategik dituntut seluruh atau sebahagian oleh China, Malaysia, Taiwan, Vietnam, Filipina dan Brunei.

Ekoran permintaan CLCS, kerajaan Filipina pada Mac lepas telah mengisytiharkan pembentukan undang-undang garis dasar maritim yang boleh dianggap sebagai bakal menghidupkan kembali sensitiviti tuntutan bertindih Kepulauan Spratly.

Pengumuman oleh Presiden Gloria Macapagal Arroyo tersebut mendapat bantahan keras Beijing kerana bakal memberi kesan terhadap Kepulauan Kalayaan dan Beting Scarborough yang juga dituntut olehnya.

Bukan setakat membuat bantahan diplomatik, Beijing turut menghantar kapal peronda ke kawasan itu.

Tindakan Malaysia dan Vietnam mengemukakan penghujahan secara bersama turut mendapat bantahan Beijing.

Jurucakap Kementerian Luarnya, Ma Zhaoxu memberi amaran kepada semua negara jiran supaya menjauhi pulau-pulau di Laut China Selatan termasuk Kepulauan Spratly.

Katanya, China memaklumkan kepada PBB bahawa Beijing memiliki ‘kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan’ dan tidak akan bertolak-ansur terhadap negara-negara lain yang turut menuntut pulau-pulau berkenaan.

Ditanya sama ada Malaysia perlu menjawab bantahan China dan kemungkinan ia menjejaskan hubungan dua hala, Najib berkata, ada mekanisme untuk pihaknya membincangkan dengan republik tersebut mengenai perkara itu.

”Saya tidak fikir ia akan menjejaskan hubungan dua hala kita dengan China,” katanya.

Najib dijadual mengadakan lawatan rasmi ke republik itu sejurus berakhirnya Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan di sini esok.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri memberitahu, Vietnam mengalu-alukan jika Malaysia berminat memajukan kawasan taman industri di negaranya seperti Singapura.

”Kita akan kaji cadangan pembukaan taman industri itu. Syarikat Malaysia pun ada melabur di negara itu dengan membina hotel di Hanoi,” katanya yang turut berharap dapat memenuhi permintaan Nguyen untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara itu.

Sementara itu, Najib hari ini turut mengambil kesempatan meninjau tapak projek pembinaan pusat konvensyen dan dua hotel bertaraf antarabangsa oleh syarikat Berjaya Group di atas tanah seluas 73.4 hektar di pulau peranginan itu.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply