News_archive

Malaysia, UK Jangka Ganda Perdagangan Dua Hala Menjelang 2016

By Thursday April 12th, 2012 No Comments

PUTRAJAYA, 12 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Britain, David Cameron bersetuju bahawa kedua-dua negara mempunyai potensi untuk menggandakan perdagangan dua hala kepada lapan bilion pound (kira-kira RM39.16 bilion) menjelang 2016.

“(Potensi itu) amat besar dan kedua-dua menteri ekonomi kami bersetuju yang kami harus berusaha menggandakan perdagangan dua hala kami pada tahun 2016.

“Ia satu matlamat yang besar tetapi kita akan berusaha mencapainya,” kata Najib pada sidang akhbar bersama dengan Cameron selepas mesyuarat dua hala mereka di Seri Perdana, Khamis.

Menyifatkan hubungan dua hala Kuala Lumpur-London sebagai sangat penting, Najib berkata ia perlu dipupuk dan dipelihara.

Beliau berkata perbincangan mereka merangkumi lima bahagian penting, iaitu politik dan hubungan diplomatik, perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan latihan, sains, teknologi dan alam sekitar serta pertahanan dan keselamatan.

“Secara khususnya bagi hubungan ekonomi dan perniagaan, kami bersetuju bahawa terdapat peluang bagi kami untuk mengukuhkan dan meningkatkan perdagangan dua hala,” katanya.

Ini merupakan lawatan pertama Cameron ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Britain pada Mei 2010.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata kedua-dua pihak turut membincangkan beberapa keperluan khusus dalam perdagangan runcit.

“Beberapa organisasi perniagaan dan ekonomi mereka seperti Tesco dan Giant beroperasi di sini dan mereka merupakan ciri-ciri penting perdagangan runcit kita.

“Mereka akan terus diberikan pertimbangan bagi pengembangan selanjutnya,” katanya.

Mengenai minat syarikat Britain, Balfour Beatty Plc dalam laluan Ampang projek My Rapid Transit, Najib berkata: “Perkara itu masih dipertimbangkan tetapi kami melihat kemungkinan mencuba mencari penyelesaian kreatif.”

Sementara itu, Cameron menyifatkan Malaysia sebagai peserta utama sebenar dan berpengaruh di rantau ini, Komanwel dan menjangkaui darinya.

“Anda memainkan peranan lebih besar dalam memacu kemajuan,” katanya.

Menurut Cameron, 150,000 rakyat Malaysia bekerja bagi syarikat Britain manakala projek pelaburan Malaysia telah mewujudkan beratus-ratus peluang pekerjaan baharu di negara itu dalam dekad lepas.

“Rakyat Malaysia hari ini memiliki beberapa syarikat British termasuk kelab bola sepak seperti Queens Park Rangers dan Cardiff City Football Club.

“Namun, meskipun perkembangan ini, ini merupakan kali pertama Perdana Menteri Britain datang ke Malaysia dalam tempoh hampir 20 tahun.

“Mesej saya hari ini sangat mudah, Britain telah kembali…kembali untuk menjalankan perniagaan dengan Malaysia, kembali untuk membangunkan perkongsian kami bagi isu-isu penting global,” katanya.

Menyentuh mengenai perdagangan dan pelaburan, Cameron berkata: “Hasrat kami mudah, untuk mencapai perubahan besar dalam perdagangan dan pelaburan Britain dengan Malaysia.

“Saya datang hari ini dengan delegasi perniagaan yang besar dan saya gembira kami telahpun melihat beberapa janji niaga baharu hari ini,” katanya.

Britain merupakan pelabur ketiga terbesar di Malaysia di kalangan negara Eropah, selepas Jerman dan Belanda.

Malaysia ialah rakan dagangan ke-35 terbesar Britain bagi barangan dan yang ke-38 terbesar bagi perkhidmatan.

Pada 2010, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Britain berjumlah lebih RM13 bilion.

Kunjungan Cameron itu mendahului lawatan Pasangan Diraja Britain Putera William dan Puteri Katherine, yang akan melawat Johor pada September sebagai sebahagian daripada kunjungan mereka ke beberapa negara bersempena dengan sambutan jubli berlian Ratu Elizabeth II.

Sumber : Bernama

Leave a Reply