News_archive

Malaysia Tuan Rumah Seminar Pelabur Menteri Asean Ketujuh

By Thursday November 18th, 2010 No Comments

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) — Malaysia akan menjadi tuan rumah Seminar Pelabur Menteri-menteri Kewangan Asean ketujuh (AFMIS) pada 30 Nov, 2010, yang bertujuan mempromosikan Asean sebagai destinasi pelaburan menarik dan menjenamakan Asean sebagai satu kelas aset.

Bertema “Discovering Tomorrow’s ASEAN”, seminar itu memberi tumpuan terhadap peluang-peluang yang perlu ditawarkan oleh pasaran kewangan Asean kepada komuniti pelabur global, berdasarkan prospek pertumbuhan ekonomi dunia ke rantau ini selaps krisis kewangan global.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyampaikan ucaptama.

Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan disahkan menghadirinya, demikian menurut kenyataan oleh Suruhanjaya Sekuriti yang menganjurkan seminar itu bersama Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah akan menjadi hos rakan sejawatannya dari Asean, termasuk Setiausaha Negara Kemboja Kong Vibol, Menteri Kewangan Indonesia Agus Martowardojo, Menteri Kewangan Laos Somdy Duangdy, Setiausaha Kewangan Filipina Cesar V Purisima, Menteri Kewangan Singapura Tharman Shanmugaratnam serta Menteri Kewangan Thailand Korn Chatikavanij.

Seminar itu dijangka menghimpunkan 300 peserta pasaran modal serantau dan antarabangsa, pelabur dan pengantara, ke rantau yang paling pesat berkembang di dunia untuk berdialog dengan Menteri-menteri Kewangan Asean.

Sumber : Bernama

Leave a Reply