News_archive

Malaysia tahu kemasukan Mas Selamat

By Sunday May 31st, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 1 Jun – Malaysia mengetahui kemasukan Ketua Jemaah Islamiah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari ke negara ini tetapi sengaja membiarkannya bebas supaya dia boleh membawa pihak berkuasa kepada ahli-ahli militan lain.

Mas Selamat ditahan pada 1 April lalu di sebuah daerah di utara Johor kira-kira setahun lalu selepas dia berjaya melarikan diri dari penjara Singapura dengan merangkak keluar dari tingkap tandas penjara terbabit pada Februari 2008.

Dalam satu temu ramah khas dengan agensi asing, AP di Putrajaya hari ini, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mahmood Adam berkata, pihak berkuasa telah menyedari kemasukan Mas Selamat sebaik dia melarikan diri ke negara ini.

”Kita mempunyai pasukan polis yang bagus (agensi risikan polis),” jelas Mahmood.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tarikh sebenar Mas Selamat memasuki Johor atau memaklumkan kepada kerajaan Singapura berhubung Mas Selamat.

Mas Selamat dipercayai melarikan diri ke negara ini dengan berenang di lautan antara dua negara.

Beliau berkata, polis telah membuat pemantauan ke atas pergerakan Mas Selamat berbanding daripada bertindak menahannya segera kerana menyifatkan dia bukan merupakan sasaran utama sebaliknya lebih penting ialah rangkaiannya.

”Pengikut Mas Selamat lebih berharga daripada diri beliau,” jelas Mahmood.

Mas Selamat yang tinggal di sebuah perkampungan yang didiami kira-kira 100 orang di negara ini, jarang keluar atau beramah mesra dengan jiran tetangga sebelum ditangkap oleh pasukan komando Malaysia.

Polis turut menangkap dua suspek dipercayai rakan Mas Selamat di Johor semasa Mas Selamat ditangkap.

Mahmood menolak untuk menyatakan sama ada pihak berkuasa semakin hampir dalam membuat tangkapan susulan, tetapi menegaskan Malaysia masih lagi negara yang selamat dan terjamin.

Minggu lalu, kerajaan Malaysia mengumumkan telah menahan Mas Selamat selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu bagi membolehkan polis mendapat maklumat tambahan daripada Mas Selamat.

Mas Selamat yang merupakan warga Singapura dan berasal dari Indonesia, didakwa merancang untuk merampas sebuah kapalterbang dan merempuh pesawat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Singapura.

Dia kemudiannya ditangkap oleh polis Indonesia pada 2006 dan diserahkan kepada kerajaan Singapura.

Sumber : Bernama

Leave a Reply