News_archive

Malaysia, Singapura Perlu 18 Bulan Untuk Pilih Opsyen Terbaik Laksanakan RTS

By Sunday January 8th, 2012 No Comments

BUTTERWORTH, 8 Jan (Bernama) — Malaysia dan Singapura memerlukan tempoh 18 bulan sebelum memilih opsyen terbaik bagi melaksanakan projek Sistem Transit Pantas (RTS) antara Singapura dan Johor Bahru, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata kedua-dua negara kini dalam proses melantik perunding bagi mengkaji alternatif dan opsyen bersesuaian untuk menghubungkan Malaysia dan Singapura.

“Kita minta perunding buat kajian yang mana lebih sesuai, yang mana lebih elok. Kos yang terlibat macam mana kalau kita pilih opsyen A, opsyen B atau opsyen C.

“Sekarang kita ada satu (opsyen) iaitu terowong dengan jalan bawah tanah. Jadi, mungkin ada banyak opsyen lagi. Perunding akan kaji, selepas itu, Malaysia dan Singapura akan buat keputusan. Kita akan buat (keputusan) dalam tempoh 18 bulan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival Memancing Malaysia 2012 di Pantai Bersih.

Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia dan Singapura sedang mengkaji kemungkinan mengembangkan skop cadangan RTS itu yang turut melibatkan hubungan jalan bawah tanah antara kedua-dua negara.

Najib berkata satu kajian telah ditauliahkan bagi mendapatkan opsyen paling berdaya maju bagi projek itu, yang disasar beroperasi menjelang 2018.

Dalam perkembangan lain, Nor Mohamed yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor, berkata negara mampu mencapai kadar pertumbuhan lima peratus tahun ini walaupun ekonomi dunia tidak menunjukkan kadar pertumbuhan tinggi.

Beliau berkata keadaan ekonomi yang tidak menentu di sesetengah negara juga tidak akan menjejaskan eksport negara memandangkan Malaysia mengeksport produknya ke banyak negara.

Sumber : Bernama

Leave a Reply