News_archive

Malaysia Sedia Jadi Hab Dunia O&G, Kata Najib

By Thursday November 25th, 2010 No Comments

JOHOR BAHARU, 25 Nov (Bernama) — Malaysia bakal menjadi antara empat hab minyak dan gas laut dalam dunia, berdiri setanding dengan pemimpin industri seperti Amerika syarikat, Brazil dan Eropah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rantau Asia Pasifik memperlihatkan minat yang semakin meningkat terhadap pembangunan laut dalam dan Malaysia sudahpun berada pada kedudukan ke hadapan dalam pembangunan ini.

“Kita sudahpun menjadi hab yang kukuh dalam industri sublaut dan tidak lama lagi akan menjadi empat hab minyak dan gas laut dalam dunia, sebaris dengan pemimpin industri seperti Amerika Syarikat, Brazil dan Eropah,” katanya semasa merasmikan kilang Asiaflex Products Sdn Bhd, milik Technip, di Tanjung Langsat, dekat Pasir Gudang, Khamis.

Kilang itu, pertama di Asia Pasifik, akan mengeluarkan paip fleksibel dan umblikal berteknologi tinggi di Timur Tengah.

Bagi negara yang secara relatifnya kecil seperti Malaysia, Najib berkata ia merupakan kejayaan membanggakan memandangkan pertumbuhan negara dalam bidang ini berlaku secara organik, menggunakan bakat tempatan dengan usaha sama peserta industri global.

Industri minyak dan gas Malaysia, katanya berkembang pada kadar yang baik dan sektor itu kini merupakan segmen penting dalam ekonomi negara, dengan perniagaan huluan dan hiliran menyumbang RM17 bilion terhadap ekonomi, tahun lepas.

“Sejak itu, Malaysia sudah berkembang, daripada semata-mata menjadi pembekal minyak mentah dan gas kepada menjadi penyedia perkakasan dan perkhidmatan bernilai tambah, di peringkat domestik dan Asia Pasifik,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata kilang Asiaflex di Tanjung Langsat, Malaysia, kini menjadi pengeluar paip fleksibel pertama di Asia Pasidik, yang akan mengukuhkan lagi kepimpinan negara dalam pasaran laut dalam dan meluaskan pengukuhannya dalam sektor minyak dan gas luar pesisir.

Najib berkata kemudahan Asiaflex bernilai 150 juta euro di Tanjung Langsat, ialah kilang ketiga Technip di dunia, selepas Perancis dan Brazil.

“Ia membuktikan minat kukuh perniagaan terhadap kawasan khusus di Malaysia ini dan secara relatifnya merupakan kejayaan awal yang kita alami sejak pembentukan Wilayah Iskandar, katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply