News_archive

Malaysia Pakej Terbaik Sebagai Sebuah Negara, Kata PM

By Friday January 20th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mempunyai pakej terbaik sebagai sebuah negara berdasarkan taraf kehidupan dan kemudahan yang mampu dikecapi rakyat.

Najib berkata, walaupun negara lain mungkin mempunyai kelebihan daripada aspek tertentu tetapi jika dilihat secara pakej keseluruhan, Malaysia mempunyai kelebihannya.

“Mungkin dari aspek tertentu ada negara yang lebih baik dari Malaysia. Tetapi sebagai satu pakej, dari segi “value for money” (nilai untuk wang), susah kita hendak kata ada tempat yang lebih baik dari Malaysia.

“Dari segi harga minyak, sewa rumah ataupun kos rumah dan segala-gala keadaan…jauh lebih baik di Malaysia sebagai satu pakej,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR), Kg Kerinchi di Lembah Pantai di sini Jumaat.

Turut sama isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Kunjungan itu merupakan sebahagian daripada Program Turun Padang Perdana Menteri di Kuala Lumpur yang bermula awal pagi tadi di Wangsa Maju diikuti lawatan ke Bandar Tun Razak di Cheras.

Malah, Najib berkata rata-rata pelawat asing yang ditemuinya juga turut mengakui kagum dengan apa yang telah dicapai oleh negara sehingga kini.

“Tiada tempat lain yang boleh memberi ‘value for money’, nilai wang yang kita perolehi, segala kemudahan. Segala produk, tempat tinggal, hotel dan barangan lain”.

Perdana Menteri berkata, pakej terbaik yang dimiliki oleh Malaysia itu akan sentiasa ditambahbaik dengan lonjakan berganda untuk memastikan Malaysia setaraf negara-negara maju lain.

“Penambahbaikan yang kita akan buat bukan secara berdikit-dikit tetapi lonjakan berganda.

Beliau memberi contoh komitmen kerajaan untuk melaksanakan Projek mega seperti Projek MRT dan Projek River Of Life yang bakal menukar wajah bandaraya Kuala Lumpur dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai antara lonjakan berganda yang bakal membawa Malaysia ke tahap yang lebih membanggakan .

Perdana Menteri berkata, berdasarkan pencapaian itu, Kuala Lumpur diyakini mampu setanding dengan bandar-bandar utama dunia seperti London, New York dan Tokyo dalam tempoh tersebut.

Beliau juga yakin banyak lagi perubahan besar yang akan berlaku di negara ini menerusi Pelan Transformasi Nasional yang telah digariskan.

“Perubahan kita berpandukan Pelan Transformasi Nasional. Kita akan lalui transformasi yang besar dan dalam lapan tahun lagi kita akan menjadi negara maju, martabat itu akan dilonjakkan dan kita akan dihormati”.

Berbanding janji-janji yang ditabur pihak pembangkang, katanya, perancangan kerajaan lebih realistik dan bukan bersifat populis untuk meraih undi.

Terdahulu Najib dalam ucapannya berkata kerajaan bersedia untuk menambah peruntukan Tabung Penyelenggaraan yang telah diluluskan dengan dana berjumlah RM35 juta.

Tabung Penyelenggaraan Satu Malaysia (TP 1Malaysia) diumumkan penubuhannya oleh Perdana Menteri semasa Sambutan dan Festival Hari Wilayah Persekutuan 2010 di Dataran Merdeka.

Tujuannya bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah-rumah kos rendah milik swasta di ibu kota.

Pada majlis sama Najib turut mengumumkan penubuhan Perpustakaan 1Malaysia di PPR Kerinchi yang merupakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan menyediakan perkhidmatan berasaskan komuniti di Kuala Lumpur.

Sebanyak tiga buah perpustakaan 1Malaysia akan dibangunkan mulai tahun ini di kawasan Parlimen Lembah Pantai, Titiwangsa dan Wangsa Maju.

Najib turut bersetuju sebuah tadika Permata Negara diwujudkan untuk memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak di kawasan berkenaan.

Kampung Kerinchi juga bakal mempunyai masjid baru, yang dikenali sebagai Masjid Tun Rahah, yang merupakan sumbangan daripada keluarga Perdana Menteri.

Masjid itu dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini, katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply