News_archive

Malaysia Mulakan Pelan Induk Digital Malaysia, Kata Najib

By Wednesday May 18th, 2011 No Comments

NEW YORK, 18 Mei (Bernama) — Kerajaan memulakan kerangka kerja ekonomi digital yang inovatif yang akan menjadi kemuncak dalam pembangunan Pelan Induk Digital Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini pada Rabu.

Beliau berkata pendekatan berpusat yang diguna pakai oleh negara itu bertujuan memperoleh peluang-peluang utama yang muncul daripada anjakan dunia daripada analog kepada digital.

“Berdasarkan perkembangan pesat penembusan jalur lebar yang meliputi 100 peratus isi rumah menjelang 2020, penduduk digital Malaysia memain peranan yang semakin penting dalam pembangunan sosioekonomi negara,” katanya pada pembukaan mesyuarat pertama Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di Akademi Sains New York.

Mesyuarat itu dihadiri seramai 35 anggota yang terdiri daripada ahli sains terkemuka dan pakar dalam pelbagai bidang, termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains New York, Ellis Rubinstein, yang merupakan pemenang Hadiah Pulitzer dalam kewartawanan sains.

Najib yang sebelum itu melancarkan forum “Invest Malaysia New York 2011” di Bursa Saham New York, berkata Digital Malaysia akan meningkatkan pertumbuhan merentas semua sektor ekonomi dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk inovasi, pelaburan dan bakat.

“Kami akan membangunkan ekosistem yang menggalakkan penggunaan meluas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam semua aspek ekonomi bagi membolehkan masyarakat berhubung di peringkat dunia dan berinteraksi secara tepat masa,” katanya.

GSIAC dijangkakan menyediakan imput bernilai dan perspektif baharu untuk mengangkat ekonomi Malaysia menerusi inovasi, memanfaatkan kekuatan negara dalam ICT serta meningkatkan kemahiran dan pendidikan sains dan kejuruteraan.

Najib berkata kerajaan menyedari bahawa inovasi sangat penting dalam memastikan kemakmuran dan mempromosikan kebajikan rakyat dan alam sekitar, dan menambah bahawa ia komited untuk memajukan sains, teknologi dan inovasi dan menjadikannya pemacu pembangunan ekonomi dan memastikan kemampanannya.

“Ia memerlukan langkah berani untuk membangunkan dan memanfaatkan sains dan teknologi dan mengukuhkan lagi kekuatan negara yang sedia ada,” katanya.

Najib juga berkata Malaysia berjaya mengubah ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi berasaskan pembuatan dan perkhidmatan.

“Dan kini kami komited merealisasikan matlamat Wawasan 2020 – ekonomi berpendapatan tinggi – menerusi Pelan Transformasi Ekonomi atau ETP,” katanya.

Inisiatif dan reformasi ETP dibangunkan untuk mencatat pertumbuhan yang akan memanfaatkan rakyat dan menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

Najib berkata ini memerlukan jumlah pelaburan sebanyak US$444 bilion dan pertumbuhan tahunan enam peratus, menjana 3.3 juta pekerjaan berpendapatan tinggi dan latihan kemahiran.

“Ia akan mengangkat Keluaran Negara Kasar Malaysia (GNI) daripada US$6,700 pada 2009 kepada US$15,000 pada 2020,” kata Perdana Menteri yang mengilhamkan idea penubuhan majlis itu semasa melawat New York tahun lepas.

Rancangan itu katanya akan dipacu sektor swasta dan menyumbang 92 peratus daripada jumlah pelaburan, dan menambah kira-kira 27 peratus pelaburan akan disumberkan daripada pelaburan langsung asing.

Sejumlah 12 sektor yang dikenal pasti sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara ialah minyak, gas, tenaga, minyak sawit dan produk berkaitan, perkhidmatan kewangan, pemborangan dan runcit, pelancongan, ICT, perkhidmatan pendidikan, elektrik dan elektronik, perkhidmatan perniagaan, penjagaan kesihatan swasta, pertanian dan Greater Kuala Lumpur.

Najib berkata Malaysia perlu menjana aktiviti ekonomi bernilai tinggi dengan menghubungkan bandar dan kampung untuk masa depan menerusi ICT.

Namun, matlamat negara bukan semata-mata meningkatkan teknologi dan pertumbuhan ekonomi, malah meliputi peningkatan kualiti hidup dan kebajikan semua rakyat, katanya.

Mengenai panel penasihat itu, Najib berkata beliau menunggu untuk menerima nasihat bernilai tambah dan sokongan aktif ketika Malaysia melangkah ke depan.

Beliau berkata majlis itu akan berperanan sebagai platform untuk mencapai objektif, seperti memberi nasihat terhadap aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi berasaskan sains dan inovasi.

Ia juga akan menjadi penanda aras daya saing dan ranking Malaysia dalam sains dan inovasi berbanding negara maju lain serta meningkatkan keupayaannya dalam bidang itu serta usaha sama dengab pakar dan pemimpin dunia.

Najib yakin majlis itu akan mengemukakan cadangan dan pelan tindakan khusus untuk mencapai dan merealisasikan keputusan yang dikehendaki.

Sumber : Bernama

Leave a Reply