Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Malaysia Minat Bangunkan Reaktor Nuklear Skala Kecil : Najib - Najib Razak
News_archive

Malaysia Minat Bangunkan Reaktor Nuklear Skala Kecil : Najib

By Monday June 1st, 2009 No Comments

PULAU JEJU (Korea Selatan), 2 Jun (Bernama) — Malaysia amat berminat untuk mencontohi Korea Selatan dalam membangunkan reaktor nuklear berskala kecil untuk menjana tenaga kerana ia lebih menjimatkan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Perdana Menteri berkata ini kerana Korea Selatan mempunyai kelebihan berbanding negara lain dalam teknologi reaktor nuklear berskala kecil di mana 40 peratus daripada keperluan tenaga dalam negaranya dibekalkan melalui pelbagai jenis reaktor nuklear, bersaiz besar dan kecil.

Najib berkata demikian kepada wartawan Malaysia ketika diminta mengulas hasil pertemuan dua hala beliau dengan Presiden Korea Selatan Lee Myung-bak selepas berakhirnya Sidang Kemuncak Asean-Korea (ROK) di sini petang tadi.

Beliau berkata reaktor nuklear berskala kecil itu begitu selamat sekali sehingga boleh didirikan di sebelah sesuatu kawasan perbandaran yang hendak dibekalkan dengan tenaga elektrik.

Katanya ia mampu menjana tenaga dalam lingkungan 200,000 hingga 300,000 kilowatt.

“Dan Presiden Korea telah memaklumkan kepada saya bahawa kosnya (bagi menjana elektrik) adalah satu pertiga daripada kos (menghasilkan elektrik) oleh stesen janakuasa arang batu, dan ini bererti bahawa ada banyak peluang untuk kita melihat secara lebih mendalam lagi.

“Oleh itu, saya telah mengambil keputusan untuk meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi untuk melawat Korea dalam masa yang terdekat ini dan meninjau teknologi hijau yang dikatakan tadi yang boleh diguna pakai dalam konteks keperluan negara kita,” katanya.

Najib berkata pembangunan teknologi hijau rendah karbon yang dimajukan di Korea Selatan amat menarik perhatiannya kerana ia selaras dengan agenda dan pemikiran beliau yang telah mewujudkan kementerian teknologi hijau.

Mengenai pameran “Green Growth, Green Asia” berkenaan teknologi hijau Korea Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Jeju di sini, yang telah dilawatinya bersama-sama Presiden Lee dan para pemimpin Asean yang lain pagi tadi, Najib berkata beliau telah melihat banyak perkara baru dan menarik yang berpotensi besar dapat diaplikasikan di Malaysia.

“Antaranya ialah usaha mereka untuk membersihkan kawasan sungai dan kawasan pesisiran sungai dan dalam usaha itu dapat melahirkan ribuan pekerjaan tambahan. Kos pembangunannya untuk setiap empat buah kawasan sungai besar ialah dalam lingkungan USD50 juta — bukanlah satu nilai kos yang begitu tinggi.

“Yang kedua saya tertarik hati kepada ‘teknologi membran’ dalam proses ‘penulenan air’ yang mungkin…ada kemungkinan potensi yang besar di dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata tenaga alternatif seperti tenaga solar dan angin juga telahpun digunakan dengan begitu berkesan dan bermanfaat di Korea, yang Malaysia akan mengkajinya dengan lebih mendalam.

Sementara itu, beliau berkata tahun depan adalah sambutan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-Korea Selatan dan untuk itu kerajaan Korea dan Malaysia melalui menteri luar masing-masing sedang memikirkan apakah jenis projek atau program yang boleh dilaksanakan untuk mencerminkan hubungan yang baik antara kedua-dua negara.

“Saya telah, bagi pihak kerajaan Malaysia dan bagi pihak Yang di-Pertuan Agong juga, mempersilakan Presiden Korea untuk membuat lawatan ke Malaysia pada tahun hadapan kerana itu boleh merupakan puncak kepada segala sambutan dan kegiatan 50 tahun hubungan dua hala Malaysia dan Korea Selatan pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata Presiden Korea itu juga melahirkan rasa puas hati dengan kerjasama dalam bidang lain seperti usaha sama antara Petronas dan syarikat petroleum nasional Korea untuk membangunkan kawasan-kawasan di negara ketiga.

“Yang ini dia kata boleh menjadi satu model baru di mana pasaran di negara ketiga boleh dieksploitasikan bersama antara Malaysia dan Korea,” tambah beliau.

Najib berkata Malaysia juga dijemput untuk menyertai ‘Global Expo’ anjuran Korea yang akan diadakan pada tahun 2012 nanti.

“Presiden Korea juga mengambil maklum hubungan antara rakyat dengan rakyat Korea dan Malaysia semakin meningkat dan ramai pelancong-pelancong dari Korea melawat Malaysia dan di samping itu bilangan pelajar kita berterusan yang belajar di Korea.”

Najib yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor kemudian berlepas ke China untuk lawatan rasmi pertama selaku Perdana Menteri.

Sumber : Bernama

Leave a Reply