News_archive

Malaysia Miliki Rekod Cemerlang Urus Kepelbagaian Kaum, Kata Najib

By Friday April 20th, 2012 No Comments

KOTA KINABALU, 20 April (Bernama) — Malaysia mempunyai rekod kejayaan yang amat cemerlang dalam mengurus kepelbagaian yang kompleks sehingga masyarakat daripada pelbagai kaum di negara ini hidup rukun, aman dan damai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kejayaan itu telah mewujudkan suasana yang kondusif bagi memacu pembangunan untuk kemudahan dan keselesaan rakyat di negara ini.

“Walaupun Malaysia mempunyai kepelbagaian yang amat kompleks, namun kita dapat mengurusnya dengan cemerlang.

“Ini jauh berbeza dengan keadaan di sesetengah negara yang hanya (mempunyai rakyat) berbeza dari segi agama atau berbeza mazhab… tidak berbeza warna kulit tetapi tidak dapat hidup aman dan damai,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Saham Malaysia (MSAM) 2012 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Likas, dekat sini Jumaat.

Najib berkata pembangunan dan kemajuan dikecapi sekarang juga adalah hasil usaha kerajaan sedia ada yang berjaya menjamin kestabilan politik di negara ini yang sejak dahulu sehingga sekarang mengamalkan demokrasi terbuka.

“Setiap kali pilihan raya, rakyat memberi mandat yang mencukupi atau meyakinkan untuk sebuah kerajaan ditubuhkan… sebuah kerajaan yang kuat dan menjamin wujudnya kestabilan politik di tanah air,” katanya.

Perdana Menteri berkata kejayaan kerajaan melaksanakan pembangunan secara pantas dan mapan juga telah merobah landskap sosio-ekonomi ke tahap yang lebih baik, sekali gus akan membantu menjayakan wawasan kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Najib berkata kerajaan sentiasa menentukan negara ini selamat, dan tidak pernah meminggirkan dimensi itu demi kebaikan semua.

“Meskipun kita menghadapi ancaman sejak dahulu, dan kini kita berada di ambang di mana walaupun kita telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan digantikan dengan sebuah akta baru tetapi kita telah dapat mengimbangi kebebasan individu dan kepentingan dan keselamatan negara pada keseluruhannya,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply