News_archive

Malaysia Mesti Segera Buat Pembaharuan Rangka Kerja Perundangan

By Friday December 3rd, 2010 No Comments

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) — Malaysia perlu segera membuat pembaharuan rangka kerja perundangannya agar lebih seimbang dan selari dengan pembangunan global, bagi mengurangkan kos serta kesukaran menjalankan perniagaan, selain meningkatkan produktiviti negara dan daya saing antarabangsa.

Rangka kerja yang sedia ada sudah ketinggalan zaman dan tidak memudahkan perniagaan moden, kata Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) dalam laporan bertajuk “Model Baru Ekonomi Untuk Malaysia-Bahagian Akhir: Langkah Dasar Strategik”.

Laporan yang dikeluarkan oleh MPEN itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat.

MPEN juga mencadangkan supaya budaya peningkatan kawal selia berterusan disemai dengan lebih kuat dalam amalan kerajaan.

Ia berkata pemakaian prinsip peraturan yang baik adalah antara empat langkah yang diperlukan untuk memacu kerajaan dalam memartabatkan undang-undang dan peraturan yang baik dengan memastikan objektif sosial mampu mengurangkan kos melepas ekonomi.

“Sebagai sebahagian daripada proses memperkenal peraturan baharu, perundingan awam patut dijadikan mandatori, manakala langkah kedua pula memansuhkan bebanan peraturan yang tidak perlu kerana ia menekan perniagaan,

Sejumlah 896 agensi persekutuan dan negeri mentadbir lebih 3,000 prosedur kawalan, dan masa diperlukan untuk mendapatkan pengesahan perundangan bagi hampir 50 peratus daripada prosedur, mengambil masa 14 hari setiap satu, kata MPEN.

Menurutnya kerajaan perlu mengambil langkah segera menghapuskan bebanan peraturan tidak perlu serta mengutamakan kajian semula undang-undang dan peraturan.

Kerajaan juga harus memastikan satu mekanisme penguatkuasaan berkesan dan cekap kerana penguatkuasaan yang tidak berkesan menyebabkan kekurangan dalam pematuhan peraturan dan mesti diperbetul untuk dipadankan dengan perancangan pengurangan beban peraturan.

“Untuk menangani perkara ini, setiap badan kawal selia mesti menjalankan audit bebas tahunan mengenai kepatuhan kepada piagam pelanggan dan penemuan-penemuan tersebut mestilah menjadi tatapan umum,” kata laporan itu.

Faktor penting bagi memastikan kejayaan ke arah satu kerangka peraturan yang lebih efektif dan koheren ialah peranan agensi utama pelaksana yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perubahan-perubahan kritikal kepada pendekatan-pendekatan peraturan sedia ada.

Mengenai dasar liberalisasi, MPEN mencadangkan kerajaan mewujudkan rangka kerja dasar liberalisasi menyeluruh untuk ekonomi Malaysia, mengamalkan proses pelaksanaan langkah-langkah dasar liberalisasi dan menyasarkan liberalisasi segera dalam sektor terpilih, bermula dengan 12 sektor NKEA dalam tempoh terdekat.

MPEN berkata pada masa ini tiada rangka kerja dasar liberalisasi atau mekanisme penyelarasan untuk memandu usaha-usaha agensi kerajaan dalam sektor masing-masing.

“Begitu juga, tiada sistem untuk memantau dan menilai kesan dan akibat daripada langkah-langkah dasar liberalisasi terdahulu.

“MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) menghadapi tentangan signifikan daripada agensi-agensi ini dalam percubaannya untuk menyusun data liberalisasi dan maklumat,” katanya.

Oleh itu, kerajaan sepatutnya membangunkan rangka kerja dasar liberalisasi di peringkat kebangsaan sebagai panduan bagi kesemua inisiatif-inisiatif liberalisasi, termasuk objektif, peta jalan, pengurusan pemegang saham dan isu-isu pelaksanaan.

Kerajaan juga harus menubuhkan mekanisma, satu pasukan petugas pelbagai agensi yang berpotensi untuk memantau dan menilai kesan liberalisasi, termasuk pembangunan pangkalan data pusat untuk maklumat liberalisasi, kata MPEN.

Sumber : Bernama

Leave a Reply