News_archive

Malaysia Mesti Proaktif Di Peringkat Kumpulan Serantau, Antarabangsa

By Monday November 1st, 2010 No Comments

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) — Malaysia mesti proaktif di peringkat serantau dan antarabangsa selain bergerak cergas di dalam perkumpulan serantau dan antarabangsa untuk melakukan impak yang berkesan di arena global.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini sangat penting kerana sebagai sebuah negara yang kecil, suara Malaysia di peringkat global boleh jadi terbatas.

“Namun, apa yang kita mungkin tidak dapat lakukan secara bersendirian boleh dilakukan secara bergabung usaha sebuah kumpulan negara-negara yang bertindak secara bersama,” kata Perdana Menteri dalam ucapan di jamuan malam Persatuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Malaysia (UNAM) 2010 di sini malam ini.

Teks ucapannya yang bertema “Malaysia di Dunia Global: Prospek dan Cabaran-cabaran” dibacakan oleh Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata perhatian serius mesti diberikan untuk mengukuhkan proses Asean sebagai wadah kerjasama serantau serta menjadi platform untuk kegiatan-kegiatan antarabangsa demi kepentingan bersama.

“Pada pandangan saya, Asean yang kukuh dan bersatu padu akan menjadi satu gerakan yang disegani dalam majlis-majlis dunia,” katanya.

Beliau berkata bagi memastikan suara Asean berhubung isu-isu utama antarabangsa didengar, perkumpulan serantau ini mestilah meningkatkan kekuatan hubungan dan gabungannya dengan kuasa-kuasa besar dunia seperti rakan-rakan Asia Timur iaitu China, Jepun dan Korea, yang dengan itu akan memperteguhkan proses kemunculan komuniti Asia Timur.

Mengenai peranan negara ini di peringkat antarabangsa, Najib berkata Malaysia boleh memainkan peranan membina dengan berusaha mendekatkan jurang yang semakin melebar antara dunia Barat dan Islam, memandangkan kekayaan pengalaman yang dimiliki dalam menguruskan masyarakatnya yang berbilang kaum, agama dan budaya.

“Keunikan Malaysia, yang menjadi kebanggaan kita dan setiap usaha perlu dilakukan untuk memeliharanya, diiktiraf baik dan diperakui oleh Presiden Amerika Syarikat.

“Dan sebagaimana kita mula memainkan peranan besar dalam arena global, kita mestilah mengingatkan diri kita bahawa untuk menjadi jambatan yang baik dan berwibawa di peringkat antarabangsa, kita mestilah memperkukuhkan perpaduan di dalam negara dan tidak memandang keharmonian kaum yang wujud di kalangan rakyat secara sambil lewa,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata sebagai negara Islam moden dan sederhana serta juga pelbagai agama, Malaysia bersedia menyertai usaha-usaha sejagat dan pada masa yang sama menjadi jambatan antara negara-negara Islam dan dunia Barat.

Najib berkata Malaysia akan terus memberi perhatian kepada hal-hal kedamaian dan keselamatan antarabangsa dan akan “berterus terang dan bersuara lantang” dengan wajar demi kepentingan keadilan dan kesaksamaan, termasuk untuk mendesak pelucutan senjata nuklear global.

“Di bawah naungan PBB, kami akan terus berusaha sedaya upaya ke arah penyelesaian konflik dan mengekalkan keamanan,” katanya.

Dalam konteks diplomasi antarabangsa yang lebih luas, Perdana Menteri berkata Malaysia akan terus memperjuangkan antara lain isu-isu yang menyebabkan ketidakadilan, hak asasi manusia, pembangunan dan pembasmian kemiskinan, perubahan iklim dan alam sekitar, pendidikan dan kesihatan awam, sistem perdagangan antarabangsa dan kewangan yang lebih adil.

Oleh itu, Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara anggota untuk memperkukuhkan badan dunia, demi kepentingan untuk meningkatkan prestij dan kewibawaan PBB, kata Najib.

“Apa yang sangat diperlukan tetapi sukar untuk dicapai adalah mmberi nafas baru dan memperbetulkan Majlis Keselamatan Antarabangsa, yang proses membuat keputusannya kekal ketinggalan zaman dan tidak demokratik, hasil peninggalan zaman pasca Perang Dunia Kedua,” katanya.

UNAM, yang dibentuk pada 1985, merupakan satu pertubuhan sukarela, bebas, tidak bermotif politik, tidak bermotif keuntungan dan sebuah badan bukan kerajaan. Ia memiliki status perundingan dengan PBB menerusi Persatuan Persekutuan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang menjadi suara tidak rasmi penduduk dunia.

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah berkenan berangkat ke majlis itu, yang turut dihadiri penaung UNAM Tan Sri Lim Kok Thay dan Presiden UNAM Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen.

Leave a Reply