News_archive

Malaysia Mampu Lahirkan Atlet Lebih Kompetitif Di Peringkat Antarabangsa – Najib

By Monday December 19th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, Dec 19 (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Malaysia mampu melahirkan lebih banyak atlet yang lebih kompetitif di peringkat antarabangsa, malah memupuk satu ekosistem yang dapat sentiasa menghasilkan atlet-atlet berkaliber tinggi.

Perdana Menteri berkata impian itu tidak boleh dicapai tanpa usaha dan dedikasi bersama semua pihak termasuk komitmen daripada kerajaan dan rakyat.

“Saya percaya tidak mustahil sekiranya satu hari nanti Malaysia disebut bersama-sama dengan negara-negara sukan lain kerana kejayaan wira-wira sukannya. Malah saya percaya kita sedang menuju ke arah pencapaian ini.

“Jika kita benar-benar merupakan sebuah negara yang tertumpu kepada sukan, maka tentunya kita dapat membuktikannya, bukan sahaja dengan bersorak untuk pemain kegemaran kita, malah dalam memupuk pemain-pemain yang baru.

“Warisan sukan berkekalan mencerminkan semangat juang, ketabahan dan perpaduan negara kita yang kukuh sudah tentu lebih besar nilainya daripada emas,” katanya dalam entri terbaru dalam blog beliau di www.1malaysia.com.my.

Najib berkata prestasi cemerlang kontinjen Malaysia di Sukan SEA ke-26 di Indonesia merupakan suatu perkembangan amat positif dan menggalakkan bagi sukan kebangsaan dan juga satu contoh terbaik bagi semangat 1Malaysia.

“Dengan berakhirnya Sukan SEA ke-26 di Palembang (dan Jakarta), saya ingin mengucapkan tahniah kepada kontinjen Malaysia yang menunjukkan prestasi cemerlang di sana. Sasaran kita sebanyak 45 pingat emas telah berjaya diatasi, malah 59 pingat emas telah di bawa pulang. Syabas!.

“Saya yakin atlet-atlet kita sekarang ini sedang memberikan tumpuan mereka terhadap latihan bagi acara-acara sukan yang akan datang, terutamanya Sukan Olimpik 2012 di London. Setiap pertandingan yang dihadapi merupakan peluang bagi kita untuk mencabar diri kita ke tahap yang tertinggi, dan yang paling penting, untuk membuktikan kepada dunia kemampuan rakyat Malaysia,” katanya.

Najib berkata cabarannya bukan sahaja terletak pada barisan atlet bertaraf dunia negara sekarang tetapi juga dalam memastikan negara mempunyai generasi altet cemerlang masa hadapan untuk mengambil alih tempat Joshua Koh (lawan pedang), Lee Chong Wei (badminton), Katrina Ann Hadi (renang serentak), Nicol David (skuasy) dan Fatehah Mustapa (basikal trek) apabila mereka bersara nanti.

“Terdapat banyak negara dengan mempunyai jumlah penduduk yang lebih kecil daripada Malaysia yang telah dapat terus melahirkan atlet bertaraf dunia. Saya percaya tentu ramai antara kita yang boleh menamakan atlet dan pasukan terkemuka dari negara seperti Australia, Belanda dan Portugal, yang kesemuanya mempunyai jumlah penduduk lebih rendah daripada kita

“Adakah mustahil bagi kita untuk yakin bahawa suatu hari nanti kita akan dapat turut melakukan yang sama seperti negara-negara ini?” soal Najib.

Kerajaan telah membuat komitmen terbarunya untuk melabur dalam pembangunan sukan melalui pembentangan Bajet 2012, katanya.

“Inilah sebab mengapa peruntukan telah dibuat dalam Bajet untuk membina 150 gelanggang futsal dan 30 padang rumput tiruan di seluruh negara. Tidak lupa juga peruntukan untuk mengenal pasti dan melatih altet muda yang berpotensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Sebelum ini kita sudah melihat kejayaan program-program yang telah menghasilkan bakat sukan cemerlang; maka kami komited untuk terus menghasilkan lebih banyak lagi atlet-atlet sebegini,” kata Perdana Menteri.

Najib berkata komitmen kerajaan sahaja bagaimanapun, tidak memadai untuk meletakkan nama Malaysia di peta dunia sukan dan rakyat turut mempunyai peranan dalam memastikan bahawa ekosistem yang menggalakkan pembangunan sukan akan terus wujud dan berkembang untuk generasi akan datang.

“Atlet-atlet tidak boleh memberikan prestasi mereka yang terbaik sekiranya tiada persekitaran yang menggalakkan. Mereka bergantung kepada kebijaksanaan dan bimbingan jurulatih-juralatih, ahli-ahli terapi, pakar-pakar pemakanan, malah jurutera dan saintis untuk membolehkan mereka mempamerkan kebolehan mereka yang terbaik.

“Pada dasar kejayaan seseorang atlet, wujud satu komuniti yang memperlengkapkan dirinya dengan pelbagai alat dan teknik yang sesuai untuk bertanding. Walaupun hanya segelintir berjaya mengorak nama dalam sukan masing-masing, namun ahli-ahli komuniti inilah yang telah membolehkan mereka berjaya.

“Saya harap lebih ramai akan dapat melihat nilai yang ada dalam menjadi sebahagian daripada komuniti ini dan dalam membantu mewujudkan industri sukan cemerlang yang dapat kita semua banggakan,” katanya.

Najib berkata beliau mengalakkan rakyat Malaysia melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan sukan bukan sahaja untuk tujuan rekreasi, malah untuk tujuan ekonomi kerana lebih ramai orang kini bertumpu kepada gaya hidup sihat.

“Dalam laporan yang dikeluarkan pada awal tahun ini, Global Industry Analysts, Inc. menunjukkan bahawa pasaran dunia bagi pakaian sukan dan senam berpeluang untuk meningkat sehingga AS$126.3 bilion pada tahun 2015, dengan potensi pertumbuhan yang terpantas di rantau Asia Pasifik.

“Dengan lebih ramai orang, termasuk rakyat Malaysia, melangkah masuk ke gimnasium, pergi ke kawasan joging dan kolam renang, maka lebih tinggilah permintaan untuk kemudahan dan perkhidmatan yang khusus untuk kesihatan dan kecergasan. Saya menggalakkan anda untuk merebut peluang-peluang ini,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply