News_archive

Malaysia Kutuk Ujian Nuklear Korea Utara – Najib

By Tuesday June 2nd, 2009 No Comments

PULAU JEJU (Korea Selatan), 2 Jun (Bernama) — Malaysia melahirkan kebimbangan berhubung perkembangan terbaru di Semenanjung Korea dan mengutuk ujian nuklear terbaru yang dijalankan oleh Korea Utara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ujian oleh Korea Utara itu memberikan tamparan hebat terhadap usaha bagi memulihara rantau itu, dan dunia, bebas daripada senjata nuklear dan sistem penyampaiannya.

Katanya perkembangan terbaru di Semenanjung Korea jelas melanggar tanggungjawabnya berdasarkan kepada keputusan dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Malaysia percaya bahawa dengan kehadiran berterusan senjata nuklear menunjukkan ancaman kepada kemanusiaan terutama dengan meningkatnya perkembangan risiko.

“Sehubungan itu, Malaysia, mengulangi mengenai pentingnya mencapai matlamat yang universal berhubung pelucutan senjata secara menyeluruh terutama senjata yang membawa kemusnahan besar-besaran dan sistem penyampaiannya, katanya dalam kenyataannya pada hari kedua sesi Sidang Peringatan Ulang Tahun ASEAN-Korea Selatan di sini, Selasa.

Sidang itu yang diadakan bagi mengingati ulang tahun ke-20 hubungan Korea Selatan dengan ASEAN itu dihadiri oleh Presiden Korea Selatan Lee Myung-bak dan kesemua 10 pemimpin negara anggota ASEAN.

Najib berkata seperti negara lain, Malaysia juga akan terus memantau perkembangan di rantau Timur Laut Asia.

“Kami menggesa DPRK (Korea Utara) supaya segera kembali kepada perbincangan enam pihak.

Malaysia tetap dengan keyakinannya bahawa proses perbincangan enam pihak itu adalah platform terbaik yang ada bagi menyelesaikan isu yang belum selesai dengan sebaik-baiknya.

“Malaysia berharap semua pihak yang terbabit akan kekal komited kepada proses termasuk memberi perhatian berhubung cara-cara bagi membina sikap saling percaya mempercayai dan yakin meyakini,” katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia mahu melihat keamanan dan kestabilan dan begitu juga supaya Semenanjung Korea bebas dari nuklear kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada Semenanjung Korea tetapi juga kepada rantau Asia pada keseluruhannya.

Sementara itu, Najib memberitahu wartawan Malaysia selepas pertemuan dua halanya dengan Presiden Korea Selatan petang tadi bahawa dalam pertemuan itu pemimpin Korea Selatan itu telah melahirkan penghargaannya kepada Malaysia kerana menzahirkan pendirian tegas itu.

“Pendirian Malaysia ini mencerminkan hubungan antara Malaysia dan ROK yang telah menjangkau tempoh masa 50 tahun,” katanya.

Dalam kenyataannya juga, Najib berkata turut dibimbanginya ialah berhubung keadaan yang belum selesai di Timur Tengah terutama berhubung konflik Palestin-Israel.

“Malaysia berharap ROK akan menyokong usaha terbaru Amerika Syarikat bagi penyelesaian dua negara dan usaha bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan jangka panjang di rantau itu.

“Berhubung perkara itu, Malaysia menghargai sokongan kuat ROK bagi proses perdamaian Timur Tengah dan begitu juga dengan sumbangannya kepada bantuan kemanusiaan dan usaha membina semula Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki,” katanya.

Katanya Malaysia mahu ROK terus menghulurkan pertolongan dalam pemulihan dan pembinaan semula Gaza dan Tebing Barat demi kemakmuran ekonomi jangka panjang kepada wilayah Palestin yang diduduki.

Mengenai krisis kewangan global sekarang, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ASEAN dan ROK perlu bekerjasama melalui rangka kerjasama ASEAN+3 secara bersepadu dan diselaraskan dengan semangat rantau itu bagi memulihkan keyakinan pasaran dan kestabilan kewangan dalam sistem kewangan global dalam tempoh jangka panjang.

Katanya kerjasama bagi membangunkan Inisiatif Bon Pasaran Asia juga perlu perlu dipermudahkan bagi membuahkan hasil.

 

Sumber : Bernama

Leave a Reply