News_archive

Malaysia & Korea Tegaskan Perlunya Penubuhan Majlis Perniagaan Malaysia-Korea

By Friday December 10th, 2010 No Comments

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) — Malaysia dan Korea Selatan menegaskan mengenai perlunya mewujudkan Majlis Perniagaan Malaysia-Korea Selatan untuk memudahkan usaha sama ekonomi yang memberi manfaat bersama.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Korea Selatan Lee Myung-bak di sini Jumaat menyebut kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meneroka cara dan kaedah, termasuk perjanjian perdagangan bebas untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju mempromosikan kerjasama dalam projek-projek kepentingan bersama dalam eksplorasi dan pengeluaran minyak dan gas antara syarikat berkaitan di kedua-dua negara.

Presiden Lee tiba di sini semalam untuk lawatan dua hari sempena Ulang Tahun Ke-50 hubungan diplomatik antara Korea Selatan dan Malaysia.

Kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu antarabangsa, termasuk kerjasama dalam bidang politik, keselamatan, ekonomi, sains dan teknologi, kebudayaan dan pendidikan, dan kerjasama serantau dan global.

Mengenai kerjasama politik dan keselamatan, Malaysia dan Korea Selatan bersetuju untuk meningkatkan lagi kerjasama pertahanan manakala dalam bidang sains dan teknologi, kedua-dua negara menyuarakan keyakinan bahawa Memorandum Peraturan mengenai kerjasama dalam teknologi hijau bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara dalam bidang berkaitan.

Bagi kerjasama serantau dan global, kedua-dua pemimpin berkongsi pandangan bahawa Korea Utara wajar mengabaikan semua senjata nuklear dan program nuklear sedia ada secara menyeluruh, disahkan dan tidak boleh ditukar, menamatkan serta-merta aktiviti berkaitan dan menghentikan semula aktiviti berkaitan program peluru berpandu.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk mengekalkan kerjasama rapat dalam pelbagai bidang, termasuk dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu, menangani isu-isu global seperti perubahan iklim, menangani keganasan, jaringan keselamatan kewangan dunia, pembangunan dan keselamatan nuklear.

Presiden Lee juga menjemput Najib melawat Korea Selatan pada masa yang bersesuaian, dan diterima dengan penuh penghargaan oleh Perdana Menteri.

Sumber : Bernama

Leave a Reply