News_archive

Malaysia Komited Pastikan Kelangsungan Hidup Dan Pengukuhan Penerbangan

By Monday June 8th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia komited untuk memainkan peranannya di dalam memastikan industri penerbangan meneruskan kelangsungan hidup dan diperkukuhkan, terutama sekali dalam mengenal pasti kesukaran yang dihadapi oleh industri penerbangan itu.

Perdana Menteri berkata pengalaman negara ini telah menunjukkan bahawa dengan mematuhi dasar yang baik yang ditambah kefleksibelan dan ketangkasan memberi respons kepada keadaan yang berubah-ubah, industri itu akan dapat meneruskan kelangsungan hidup dan malah menjadi semakin makmur walau pun berhadapan dengan iklim ekonomi yang buruk.

“Jelas sekali industri penerbangan terlalu penting untuk tidak diendahkan atau mengalami kejatuhan. Kerajaan Malaysia menyokong sepenuhnya industri penerbangan sebagai sektor utama perniagaan dan perdagangan,” katanya dalam ucaptama di Mesyuarat Agung Tahunan IATA (Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa) ke-65 di sini.

Antara inisiatif yang dilakukan Malaysia untuk mengukuhkan industri penerbangan, terutama sekali bagi tempoh jangka panjang ialah dengan bekerja dengan rapat dengan negara anggota Asean yang lain bagi mengkaji kemungkinan mewujudkan satu Pasaran Penerbangan Tunggal seperti Kesatuan Eropah.

“Ini mungkin dilaksanakan dalam tempoh masa yang lama lagi tetapi ia mungkin satu kemungkinan yang menerujakan,” katanya.

Pelan cadangan Asean ialah untuk meliberalisasikan sepenuhnya perkhidmatan udara di rantau ini menjelang 2015, katanya.

Usaha lain yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia termasuk membantu syarikat penerbangan untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan pengeluaran karbon melalui prosedur kawasan trafik udara serta pelaksanaan Penurunan Mendekati Berterusan bagi pesawat untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Katanya cubaan terbaru membabitkan Malaysia Airlines, AirAsia dan Singapore Airlines dan akhirnya akan dikembangkan untuk meliputi syarikat penerbangan lain.

Najib berkata Malaysia juga komited untuk bekerja dengan industri itu bukan sahaja untuk mengurangkan kos malah juga untuk menambah baik keefisienan dan memudahkan pergerakan penumpang fret di kesemua lapangan terbangnya.

Secara meluas, katanya Malaysia telah memberi respons kepada permintaan mendapatkan bantuan dari syarikat penerbangan dengan mengumumkan rebat 50 peratus fi pendaratan pesawat di KLIA sebagai sebahagian daripada pakej rangsangan bagi tempoh dua tahun mulai April lepas.

Ini dijangka memberi manfaat kepada syarikat penerbangan yang beroperasi ke Malaysia pada kos RM200 juta.

Bagaimana pun, Najib juga turut menyeru industri itu untuk melihat dirinya sendiri dan serta perkembangann dan perubahan yang perlu diambilnya sekarang bagi menyediakan dirinya bagi menghadapi risiko dan ketidaktentuan masa depan, yang melangkauai peranan yang dimainkan kerajaan.

“Saya pasti kerajaan lain juga sedang mengambil langkah yang boleh memastikan industri itu meneruskan kelangsungan hidupnya semasa krisis ekonomi global sekarang ini dan meningkatkan daya tahan bagi masa depan,” katanya.

Katanya industri pengangkutan udara bersama-sama dengan kerajaan perlu bekerjasama mencari penyelesaian untuk membolehkannya maju ke hadapan.

Oleh kerana cabaran yang dihadapi hari ini kemungkinan muncul semula, industri itu perlu mencari satu cara melindungi dirinya untuk menyerap kejutan masa depan tanpa merasai impak yang serius atau yang memusnahkan peserta industri penerbangan.

Di Malaysia, Najib berkata sektor penerbangan kebangsaan memberikan kesan pergandaan yang besar sebanyak 12.5 kali terhadap ekonomi keseluruhan di segi pelancongan, infrastruktur dan pembangunan logistik.

Sementara itu, industri penerbangan memberi kesan ekonomi global yang dianggarkan sebanyak AS$3.5 trilion atau 7.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setahun.

Sumber : Bernama

Leave a Reply