News_archive

Malaysia komited bantu selatan Thai

By Monday June 8th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA 8 Jun – Malaysia komited membantu Thailand menyelesaikan pergolakan di wilayah selatan negara itu termasuk menyediakan lebih banyak program pembangunan untuk golongan muda, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terbaru menurut Perdana Menteri, kerajaan membantu dengan memberi input dan penambahbaikan terhadap sukatan pelajaran agama Islam di sekolah-sekolah agama di selatan Thailand.

“Perdana Menteri Thailand menyuarakan hasrat supaya kita dapat membantu mereka melihat kurikulum Islam di wilayah itu.

“Kita sedia bekerjasama termasuk turun padang melawat sekolah-sekolah agama dan berjumpa sendiri dengan penduduk di sana,” katanya pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva di pejabatnya di sini hari ini.

Pada Jun 2007, Malaysia dan Thailand menandatangani satu perjanjian mengenai kerjasama dalam program pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan bertujuan membantu penduduk yang majoritinya beragama Islam di sempadan wilayah selatan negara tersebut.

Mengikut perjanjian itu, Malaysia antara lain akan membantu melatih kira-kira 4,000 orang Islam Thailand dalam program teknikal dan menawarkan biasiswa kepada pelajar di wilayah selatan tersebut.

Najib berkata, beliau percaya pergolakan di selatan Thailand akan dapat diatasi dengan lebih baik sekiranya program-program pembangunan di situ diberikan penekanan.

Bagaimanapun katanya, Malaysia hanya boleh membantu jika mendapat persetujuan daripada Thailand.

Sementara itu, Abhisit memberitahu, beliau yakin kestabilan di wilayah berkenaan dapat dicapai jika peluang-peluang untuk meningkatkan taraf hidup disediakan lebih banyak kepada generasi muda.

Beliau menambah, Malaysia selama ini telah memberikan sumbangan yang begitu besar di situ.

Abhisit sebelum itu memeriksa kawalan kehormat perbarisan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota-anggota lain pangkat Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) di pekarangan Bangunan Perdana Putra di sini.

Turut serta ialah Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suthop Thaugsuban dan Menteri Luar negara itu, Kasit Piromya.

Abhisit merupakan pemimpin asing pertama melakukan lawatan rasmi ke negara ini sejak Najib dilantik sebagai Perdana Menteri pada 9 April lalu.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply