News_archive

Malaysia Harap Peralihan Kuasa Mesir Lancar, Kata Najib

By Saturday February 12th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Malaysia berharap peralihan kuasa Mesir berjalan lancar berikutan peletakan jawatan presidennya Hosni Mubarak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata bahawa kerajaan Malaysia juga akan mewujudkan hubungan yang baik dengan pimpinan kerajaan Mesir yang baru kelak.

“Saya berharap proses peralihan kuasa di Mesir berjalan dengan licin dan tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti ketegangan dan keganasan yang serius.

“Saya yakin rakyat Mesir dapat menentukan nasib dan masa depan mereka dan saya berharap bahawa keadaan ini dapat diuruskan dengan baik sehingga tiba masa untuk mengadakan pilihan raya umum,” katanya semasa sidang akhbar pertemuan Presiden Umno dengan ketua-ketua bahagian Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini Sabtu.

Beliau berkata semoga rakyat Mesir yang mengharapkan perubahan akan mendapat sebuah kerajaan baru yang akan memenuhi kehendak mereka, iaitu kepada perubahan yang akan memberi kepuasan kepada mereka.

Hosni Mubarak akhirnya tunduk kepada revolusi rakyat dan mengumumkan peletakan jawatannya pada Jumaat selepas 30 tahun memerintah Mesir apabila mengambil alih daripada Anwar Sadat.

Pengumuman itu dibuat oleh Naib Presidennya Omar Suleiman melalui satu kenyataan yang disiarkan secara langsung di televisyen kira-kira tengah malam waktu Malaysia.

Najib berkata senario di Mesir tak boleh disamakan dengan keadaan di Malaysia.

“Apa yang berlaku itu (revolusi rakyat Mesir) kita (Malaysia) lebih awal lagi menyedari perkara ini apabila kita menekankan rakyat didahulukan. Apapun dasar kita, program kita mesti meletakkan prinsip utama mesti mendahulukan rakyat,” katanya.

Beliau percaya jika prinsip itu dilaksanakan rakyat akan bersama-sama kerajaan tetapi dalam erti kata bukan semua masalah boleh diselesaikan dalam sekelip mata.

“Rakyat pun faham, tetapi asalkan kita mendahulukan rakyat dan memahami jangkaan rakyat bahawa kita ini mengambil tindakan dan rakyat merasai faedah hasil tindakan itu,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan ada pihak-pihak tertentu yang mahu mengikut jejak langkah penduduk Mesir yang berdemonstrasi, Najib berkata rakyat Malaysia adalah matang dan berfikiran rasional.

“Mereka tahu mana (satu) yang hak dan yang batil, dan mana (satu) yang nak dieksploit oleh mana-mana pihak.

“Saya dah buat (penjelasan tentang) point ini. Dalam pergolakan di Mesir majoriti Barisan Nasional bertambah di Tenang, jadi ini adalah petanda yang baik,” katanya.

Mengenai laporan polis yang dibuat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa mahu keluar negara untuk merancang sesuatu yang memudaratkan kepada keselamatan negara, Najib berkata beliau menyerahkan perkara itu untuk polis menyelesaikannya.

Pada Jumaat, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membuat empat laporan polis terhadap ketua pembangkang berkenaan bagi membolehkan beliau dihalang keluar dari negara kerana didakwa merancang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Mengenai komuniti facebook yang menentang pembinaan Menara Warisan setinggi 100 tingkat, beliau berkata ia memang dijangka kerana ia merupakan sebahagian daripada fenomena global dan perubahan dalam teknologi komunikasi.

“Kita mempunyai dua pilihan, kita boleh menutup Malaysia kepada fenomena global tetapi kita memilih untuk menjadi sebahagian daripadanya. Tapi itu bermakna bahawa kita perlu menguruskannya dalam sebuah masyarakat yang berpendidikan dan memahami teknologi dan oleh itu, cabaran adalah lebih kepada untuk menguruskan persekitaran politik,” katanya.

Beliau berkata ia bukanlah mudah (bagi kerajaan) kerana mereka tidak memonopoli maklumat, penyebaran maklumat dan sebenarnya rangkaian sosial yang disebarkan tepat masa tidak bermakna pandangan-pandangan yang dilontarkan adalah betul.

Najib berkata untuk menguruskannya ia bukan hanya mengenai penapisan internet tetapi apa yang paling penting ialah supaya orang ramai memahami matlamat dasar kerajaan.

“Matlamatnya adalah baik tapi kadang kala apa yang hendak dilakukan kerajaan telah disalah anggap. Apa bezanya, sebagai contoh, antara bangunan 100 tingkat dan bangunan 80 tingkat.

Beliau berkata semuanya mengenai Malaysia pada tahun 20202 dan Kuala Lumpur akan menjadi begitu berbeza.

Projek ini tidak menggunakan wang orang ramai atau pembayar cukai seperti yang sering disalah fahami (oleh orang ramai), katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut berharap keadaaan politik di Mesir segera distabilkan dan kuasa pemerintahan yang baru dibuat secara proses demokrasi dengan rakyat mempunyai kuasa penentu.

Muhyiddin berkata kerajaan akan memaklumkan kepada penuntut Malaysia yang belajar di Mesir yang kini kembali ke Malaysia berikutan keadaan yang tidak aman di negara itu, mengenai perkembangan di Mesir dan bila mereka boleh kembali meneruskan pengajian.

Selain itu ia juga mengenai soal peperiksaan yang mereka perlu duduki dan sebagainya, katanya tanpa menjelaskan butiran mengenainya.

Sebelum ini, Najib mengumumkan bahawa Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan memikirkan tindakan seterusnya berhubung kedudukan penuntut Malaysia yang berkenaan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply