Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Malaysia-China menuju hubungan tahap lebih tinggi - Najib Razak
News_archive

Malaysia-China menuju hubungan tahap lebih tinggi

By Tuesday June 9th, 2009 No Comments

LAWATAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China yang berakhir pada 5 Jun lalu, dianggap sebagai satu lawatan yang berjaya, sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Lawatan selama empat hari itu merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke negara luar dari ASEAN.

Hubungan baik Malaysia dengan China bukanlah sesuatu yang baru, kerana hubungan akrab antara kedua-dua negara ini telah terjalin sejak beratus-ratus tahun lalu.

Selepas lebih 500 tahun, ketika semua negara di dunia memulaukan China berikutan sentimen anti-komunisme begitu kuat pada waktu itu, Allahyarham Tun Abdul Razak, ayahanda kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengambil langkah yang mengejutkan dunia, apabila beliau melakukan lawatan rasmi ke China pada 31 Mei, 1974 dan menjalinkan hubungan diplomatik.

Pada detik itu, Tun Razak dan Perdana Menteri Zhu Enlai telah menandatangani perjanjian diplomatik sebagai memperbaharui hubungan sejarah, sekali gus mengukuhkan persahabatan yang telah terjalin antara kedua-dua negara sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Sejak itu, hubungan Malaysia dan China terus berkembang kukuh dalam segala bidang terutama perdagangan dan pelancongan.

Pada ketika ini, hubungan dagangan antara Malaysia mencatat nilai melebihi AS$50 bilion, jumlah yang dianggap masih kecil.

Selepas genap 35 tahun, Najib menuruti jejak langkah ayahandanya melakukan lawatan ke China bagi mengukuhkan lagi hubungan baik yang sedia ada.

Lawatan itu, bukan sahaja sesuatu yang bermakna kepada Najib secara peribadi tetapi juga sangat penting dan dianggap strategik bagi kedua-dua negara.

Pandangan itu bukan sahaja dikongsi oleh Najib secara peribadi serta Malaysia secara rasmi dan bukan bersifat sebelah pihak, kerana China juga menganggap lawatan Najib itu sebagai sangat signifikan apabila kepimpinan China turut menyatakan hasrat mereka untuk mengukuhkan lagi hubungan China dengan Malaysia.

Ini dapat dilihat apabila China sebagai mengiktiraf hubungan baiknya dengan Malaysia telah menandatangani dokumen penting mengenai pelan tindakan strategik yang menjadi garis panduan penting kepada hubungan dua hala Malaysia-China.

China dan Malaysia juga menandatangani kontrak pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang sebagai menghormati persefahaman yang dicapai oleh kedua-dua negara sebelum ini ketika era Tun Abdullah.

Sebagai balasan, China menawarkan kontrak kepada syarikat Malaysia, Sime Darby Bhd. untuk membangunkan perbandaran baru di Wiefang di atas kawasan seluas 600 kilometer persegi.

Lawatan Najib itu sudah pasti akan membawa hubungan antara Malaysia-China ke satu tahap yang lebih tinggi dan memperluaskan kerjasama antara kedua-dua negara dalam banyak bidang terutama ekonomi, perdagangan dan pelancongan.

Penulis ialah Pengarang Luar Negara Utusan Malaysia.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply