Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Malaysia Cadang Jambatan Ketiga Hubungkan Ke Singapura - Najib Razak
News_archive

Malaysia Cadang Jambatan Ketiga Hubungkan Ke Singapura

By Thursday May 21st, 2009 No Comments

SINGAPURA, 22 Mei (Bernama) — Malaysia telah mencadangkan kepada Singapura bahawa sebuah jambatan baru dibina bagi menghubungkan bahagian timur Johor ke negara pulau itu.

Jambatan baru itu akan dapat membantu melancarkan lagi pergerakan orang ramai, barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong di sini hari ini.

Najib, yang berada di sini sejak semalam bagi lawatan rasmi dua hari ke republik ini, berkata jambatan baru itu juga akan membantu membangunkan bahagian timur Johor seperti di kawasan di Pengerang, termasuk Desaru, yang masih kurang membangun tetapi mempunyai potensi ekonomi yang besar.

Beliau berkata jalan penghubung sedia ada seperti Tambak Johor, sudah mempunyai jumlah trafik yang banyak dan telah menjejaskan kelancaran pergerakan orang ramai dan barangan antara kedua-dua negara berjiran.

Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk meneliti cadangan itu daripada segi jangka sederhana dan jangka panjang dan juga bersetuju untuk menjalankan kajian terhadap daya maju jambatan itu, kata Najib dan menurutnya cadangan jambatan baru itu merupakan satu daripada hasil mesyuarat dua hala mereka untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Singapura.

Pada masa ini, bahagian hujung selatan Semenanjung Malaysia dihubungkan ke Singapura oleh Tambak Johor yang semakin dimamah usia dan Linkedua di Tuas.

Pada 2006, Malaysia membatalkan rancangan untuk membina jambatan kedua bagi menggantikan Tambak Johor selepas menemui kebuntuan berikutan tiada kata sepakat dicapai antara kedua-dua negara jiran.

Lee turut mencadangkan Tambak Johor diperbesarkan dan laluan rel yang menghubungkan kedua-dua negara dinaik taraf untuk meningkatkan kelancaran pergerakan trafik.

Terdahulu, sebaik tiba di Istana, Najib memeriksa barisan kawalan kehormat tentera sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Lee.

Kedua-dua pemimpin kemudian menyertai mesyuarat dua hala yang membabitkan delegasi pegawai tinggi dari kedua-dua negara.

Sumber : Bernama

Leave a Reply