News_archive

Malaysia Berhasrat Jadi Tuan Rumah CHOGM 2019 – Najib

By Sunday October 30th, 2011 No Comments

PERTH, 30 Okt (Bernama) — Malaysia berhasrat untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2019, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata tarikh itu amat signifikan kerana kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah CHOGM ialah pada 1989, iaitu 30 tahun dari tahun itu.

Najib adalah antara 53 ketua kerajaan yang menghadiri CHOGM 2011 di sini yang dirasmikan oleh Ratu Elizabeth pada Jumaat.

Hari ini ialah hari terakhir CHOGM 2011 yang berlangsung selama tiga hari.

Najib berkata kebanyakan negara menerima dengan baik hasrat Malaysia untuk menjadi tuan ruman CHOGM pada 2019.

“Keputusan sama ada hasrat Malaysia ini akan tercapai ataupun tidak mungkin akan diketahui di CHOGM 2013 yang akan diadakan di Sri Lanka ataupun selepas itu,” katanya.

Menurut Najib selepas Sri Lanka, Mauritius akan menjadi tuan rumah pada 2015 tetapi masih tiada lagi tawaran untuk hos CHOGM 2017.

Katanya Malaysia telah memulakan langkah awal untuk menyatakan hasratnya menjadi tuan rumah kepada CHOGM 2019 kerana tarikh tersebut begitu bermakna dan signifikan.

“Ini ialah kerana tarikh tersebut menandakan 30 tahun selepas Malaysia menjadi tuan rumah kali pertama pada tahun 1989,” katanya.

Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, yang tiba di sini pada 26 Okt berlepas pulang ke tanah air petang ini selepas menghoskan majlis barbeku untuk rakyat Malaysia di Perth.

Kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis itu yang diadakan di Burswood Park.

Delegasi Najib ke CHOGM termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sumber : Bernama

Leave a Reply