Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Malaysia Belum Cadang Keluarkan Nasihat Larangan Ke Indonesia : Najib - Najib Razak
News_archive

Malaysia Belum Cadang Keluarkan Nasihat Larangan Ke Indonesia : Najib

By Wednesday September 1st, 2010 No Comments

PUTRAJAYA 1 September – Kerajaan belum bercadang mengeluarkan nasihat larangan melawat Indonesia walaupun berlaku insiden terbaru dalam gerakan anti-Malaysia apabila kediaman seorang jurutera Malaysia di Kalimantan dilontar batu pada minggu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau perlu berbincang dengan Wisma Putra sebelum nasihat larangan lawatan itu dikeluarkan kerana ia adalah satu perkara yang serius yang melibatkan kepentingan kedua-dua negara.

“Jadi kita perlu pertimbangkan dengan sebaik-baiknya. Pada peringkat ini, kita tidak akan keluarkan nasihat ini kecuali jika keadaan menjadi lebih buruk,” katanya di pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini selepas menerima buku mengandungi ucapan selamat Hari Kemerdekaan daripada pelajar Sekolah Bukit Damansara, yang turut ditandatangani pelajar dari tiga sekolah di Singapura.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Dalam kejadian di Ketapang, Kalimantan Barat, Ahad, kediaman seorang jurutera Malaysia dilontar batu sekumpulan lima lelaki yang memakai lilitan kepala bertulis “Ganyang Malaysia”.

Di jakarta pula, sebelum itu, bendera Malaysia dibakar penunjuk perasaan yang turut melontar najis manusia ke kawasan Kedutaan Malaysia.

Mengulas pertemuan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dengan Menteri Luar Indonesia, Dr Marty Natalegawa di Kota Kinabalu pada 6 September ini bagi membincangkan isu batas perairan kedua-dua negara itu, Najib berharap masalah itu dapat diselesaikan dengan baik supaya ia tidak berpanjangan.

“Kalau boleh apa-apa insiden pun kita mesti berusaha untuk selesaikan dan tidak mengundang kepada reaksi seperti tunjuk perasaan yang keterlaluan yang berlaku baru-baru ini.

“Antara kedua negara jiran, susah kita nak elak tidak ada masalah langsung terutama kalau kita ada kawasan perairan yang terlalu luas, yang masih belum diselesaikan secara komprehensif, secara tuntas.

“Kita perlu ambil pendirian bahawa kalau ada insiden, biarlah kita selesaikan insiden itu dan tidak ada pihak lain campur tangan menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk,” kata beliau.

Sumber :Β Bernama

Leave a Reply