News_archive

Malam Paling Gemilang Dalam Sejarah Bola Sepak Negara, Kata Najib

By Wednesday December 29th, 2010 No Comments

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki-AFF adalah sesuatu yang dibanggakan.

“Ini adalah malam paling gemilang dalam bola sepak Malaysia. Pasukan muda telah memberikan kita kebanggaan dan kita mesti bina kejayaan ini untuk menggerakkan bola sepak maju ke hadapan pada tahap yang lebih tinggi.

“Ini bagi memastikan apa yang kita capai malam ini bukan satu yang sepintas lalu tetapi permulaan dalam sejarah bola sepak kita sebagai yang besar,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini.

Beliau melahirkan harapan bahawa pencapaian pasukan bola sepak Malaysia akan menjadi inspirasi kepada belia-belia kita.

Najib juga mengucapkan tahniah kepada jurulatih pasukan Malaysia, K.Rajagobal, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan semua penyokong bola sepak Malaysia.

Malaysia menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 pada perlawanan akhir kedua Piala Suzuki-AFF 2010 yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta Rabu malam.

Sumber : Bernama

Leave a Reply