News_archive

Majoriti Rakyat Malaysia Faham Dan Terima Konsep 1Malaysia – Jasa

By Saturday April 7th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) — Kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia memahami konsep gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Fuad Hassan berkata statistik itu diperoleh berdasarkan kajian terkini yang dilakukan jabatan berkenaan bersama-sama Jabatan Penerangan di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

“Apa yang kita dapati, rakyat memahami dan menerima konsep ini berdasarkan program-program penerangan yang dijalankan serta merasai kesan 1Malaysia melalui pelbagai bantuan, produk dan perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan.

“Kita juga lihat rakyat sudah tidak segan untuk bercakap mengenai 1Malaysia malah sudah ada semangat kekitaan di kalangan mereka yang rasa mereka juga patut menerima kebaikan daripada gagasan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Seminar Penyerlahan Gagasan 1Malaysia (Siri Kelima) “Wacana Transformasi Minda” di sini, hari ini.

Seminar yang dihadiri 750 pengetua, guru besar dan guru-guru kanan sekolah dari Kuala Lumpur dan Putrajaya itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Dr Amin Senin.

Fuad berkata baki 20 peratus rakyat yang tidak memahami konsep tersebut berpunca daripada program penerangan yang masih belum menyeluruh dan faktor politik di mana terdapat sesetengah pihak menggunakan elemen hasutan untuk mempengaruhi rakyat menolak Gagasan 1Malaysia.

Sumber : Bernama

Leave a Reply