BlogFeatured Articles

Majlis Sambutan Hari Raya Malaysia Aviation Group

By Monday July 10th, 2017 No Comments

Alhamdulillah, pagi tadi saya berkesempatan menghadiri majlis sambutan Hari Raya Malaysia Aviation Group atau MAG di KLIA. Saya ucapkan terima kasih kerana menjemput saya untuk bersama-sama meraikan keriangan Syawal bersama warga kerja MAG.

Sememangnya tagline “Malaysian Hospitality” atau MH yang begitu sinonim dengan Malaysia Airlines jelas terserlah dalam sambutan yang cukup mesra yang diberikan oleh setiap warga MAG pada majlis tersebut. Layanan mesra sebeginilah yang menjadi kebanggaan Malaysia Airlines dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Apabila saya perhatikan setiap wajah warga MAG yang ada pada majlis tersebut, saya dapat melihat nilai kecekalan dan kesetiaan anda semua dalam bersama-sama mengharungi tempoh yang amat mencabar bagi syarikat penerbangan negara yang cukup ikonik ini.

Kesemua 12,500 orang tenaga kerja Malaysia Airlines merupakan aset terpenting bagi syarikat ini. Komitmen pihak Kerajaan semata-mata tidak mungkin dapat menjanjikan kejayaan tanpa usaha, dedikasi dan pengorbanan mereka. Bak kata pepatah Melayu “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.”

Baru-baru ini saya telah menyatakan menerusi tweet saya bahawa tenaga kerja Malaysia Airlines sememangnya layak untuk menerima pembayaran saguhati ex-gratia yang diagihkan sebelum sambutan Hari Raya baru-baru ini sebagai menghargai sumbangan anda dalam usaha pemulihan syarikat setakat ini. Semoga bayaran saguhati tersebut telah menceriakan sambutan 1 Syawal mereka sekeluarga.

Bercakap mengenai sambutan 1 Syawal, saya sedia maklum bahawa beberapa hari sebelum dan selepas 1 Syawal merupakan tempoh paling sibuk untuk kakitangan Malaysia Airlines, terutamanya yang bekerja di lapangan terbang dan pusat kawalan operasi.

Apabila majoriti rakyat pulang ke kampung halaman meluangkan masa bersama keluarga tercinta, mereka terpaksa berhadapan dengan cuaca tidak menentu yang mengganggu kelancaran operasi, selain mengendalikan jumlah penumpang yang begitu ramai dengan pelbagai kerenah.

Kerajaan sentiasa memberikan sokongan yang padu dalam usaha pemulihan Malaysia Airlines menerusi Khazanah yang kini merupakan pemegang saham tunggal syarikat. Pada setiap mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah yang saya pengerusikan, saya telah diberi laporan kemajuan syarikat dengan terperinci serta cabaran yang anda sekalian hadapi dalam menjalankan tugasan yang telah diamanahkan.

Suka saya nyatakan di sini bahawa Kerajaan akan terus menyokong Malaysia Airlines dalam usahanya untuk kembali mencatatkan pertumbuhan dan keuntungan dalam industri yang cukup mencabar ini. Dengan usaha yang berterusan, saya yakin Malaysia Airlines akan mampu memperoleh semula penarafan 5-bintang Skytrax menjelang tahun 2018 kelak.

Lanjutan daripada pelancaran ekspresi Negaraku yang telah saya sempurnakan pada bulan Mac lepas, saya amat gembira kerana Malaysia Airlines mengorak langkah untuk memperkenalkan livery Negaraku di salah sebuah daripada beberapa pesawat bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.

Secara peribadi, saya berasa sungguh berbangga sebagai rakyat Malaysia apabila menyaksikan livery baharu ini di pesawat Malaysia Airlines. Saya juga yakin bahawa semangat Negaraku ini tersemat dalam syarikat penerbangan negara ini serta jauh ke dalam jiwa setiap warga kerja Malaysia Airlines.

Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya melihat Malaysia Airlines bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan tetapi sebagai suatu simbol kebanggaan negara yang mengibarkan Jalur Gemilang serta meletakkan Malaysia di peta dunia.

Inilah sebabnya Pelan Pemulihan MAS yang diumumkan tiga tahun lepas cukup penting. Ia telah menggariskan 12 perkara utama yang perlu ditangani bagi memastikan usaha pemulihan ini berjaya. Sepanjang tempoh ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan, antara lain, pengenalan Akta MAS, pembelian 50 buah pesawat Boeing 737 MAX, pengenalan 11 laluan penerbangan ke China dan sebagainya.

Inilah sebabnya usaha berterusan di bawah pelan ini perlu dijayakan untuk mengharumkan bukan sahaja nama Malaysia “Negaraku” tetapi juga Malaysia Airlines khususnya. Justeru itu, saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara kita untuk terus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Malaysia Airlines.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga Malaysia Airlines dan MAG. Saya doakan agar segala usaha kita untuk “Membina Kembali Ikon Negara” ini akan mencapai kejayaan, Insya-Allah.

Leave a Reply