Blog

Majlis Rumah Terbuka Ugadi 2015

By Tuesday April 7th, 2015 No Comments

*Ucapan ini telah dibacakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada majlis tersebut.

UCAPAN
YAB DATO’ SRI NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI
MAJLIS RUMAH TERBUKA HARI UGADI (TAHUN BARU TELUGU) 2015
05 APRIL 2015 (AHAD), 5.30 P.M.
DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR

Yang Berbahagia Datuk Dr. Achaiah Kumar Rao,
Presiden Persatuan Telugu Malaysia;

Yang Berhormat Datuk Seri G. Palanivel,
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar merangkap Presiden MIC;

Yang Berhormat Dato’ Mah Siew Keong,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden GERAKAN;

Yang Berhormat Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor,
Menteri Wilayah Persekutuan;

Yang Berhormat Senator Dato’ Dr. Loga Bala Mohan,
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan;

His Excellency Mr. T. S. Tirumurti,
High Commissioner of India to Malaysia;

Dif-dif kehormat dan saudara-saudari sekalian;

Salam sejahtera dan Salam “Okka” Malaysia.

1. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana saya dan isteri saya dapat bersama-sama dengan anda semua di majlis Rumah Terbuka Ugadi 2015 yang disambut di Dataran Merdeka yang bersejarah ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Telugu Malaysia di bawah kepimpinan YBhg. Datuk Dr. Achaiah Kumar Rao di atas kesempatan beliau kepada saya untuk berucap pada petang ini.

2. Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Ugadi atau “Ugadi Subha-kan-chalu” kepada masyarakat Telugu yang hadir beramai-ramai pada hari ini serta kepada masyarakat Telugu di seluruh negara. Saya difahamkan sambutan Ugadi adalah sambutan tahun baru bagi masyarakat Telugu dan merupakan satu perayaan yang amat penting bagi anda. Setiap permulaan yang baru pastinya akan membawa suatu azam dan harapan yang baru. Oleh yang demikian, saya berharap sambutan tahun baru Telugu pada tahun ini telah memberi satu semangat dan iltizam kepada anda untuk terus maju ke hadapan dan bersama-sama dengan Kerajaan dalam membina sebuah negara yang maju, aman dan makmur.

3. Saya masih ingat lagi kenangan manis semasa saya menghadiri majlis “An Evening with the Prime Minister” pada tahun 2010 di PICC, Putrajaya di mana ribuan masyarakat Telugu telah hadir dan memberi sokongan yang padu kepada saya untuk memimpin anda semua. Dalam majlis tersebut, saya telah berucap di dalam 2 dewan yang dipenuhi masyarakat Telugu, suatu perkara yang jarangkali berlaku. Saya terharu apabila melihat masyarakat Telugu sekali lagi berhimpun beramai-ramai di sini pada petang yang mulia ini dalam suasana yang cukup meriah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

4. Sambutan Ugadi dengan tradisi rumah terbuka seperti ini adalah masa di mana kita semua dapat memperbaharui komitmen antara satu sama lain untuk menghormati serta memahami dengan lebih mendalam kebudayaan dan sejarah masing-masing. Sambutan seperti ini juga menarik minat pelancong-pelancong, dan ini bermakna kita berpeluang meraikan kegembiraan dalam satu lingkungan persaudaraan yang lebih luas lagi.

5. Dalam setiap sambutan perayaan Ugadi, saya difahamkan makanan tradisi seperti “Ugadi Pachadi, Boorulu, Garulu” dan sebagainya dihidangkan kepada ahli keluarga dan para tetamu. Sambil kita menikmati juadah-juadah yang enak ini, satu perkara yang perlu kita ambil perhatian adalah, walaupun kaedah penyediaan manisan dan masakan ini adalah berbeza, namun bahan-bahan yang digunakan untuk juadah-juadah tersebut adalah sama dan digunakan secara umum oleh kaum-kaum lain.

6. Begitulah juga kita, persefahaman dan aspirasi yang sama dalam pelbagai aspek adalah identiti kita sebagai rakyat Malaysia. Sebagai sebuah negara bangsa, kita telah menyatukan pelbagai budaya dan tradisi kita yang unik demi untuk memperkukuhkan struktur negara kita dan ramai yang telah bekerja keras dan banyak berkorban untuk menjadikan Malaysia berada pada tahapnya sekarang.

7. Rakyat Malaysia secara amnya berkongsi aspirasi yang serupa, iaitu sebuah kehidupan yang harmoni dan sejahtera di antara satu sama lain. Kita mungkin tidak selalu sehaluan dalam mencapai matlamat kita, tetapi perlu kita ingat, kita mempunyai ramuan yang sama untuk mencapai kejayaan. Ramuan itu adalah perasaan cinta kepada negara kita Malaysia, persefahaman dan rasa sayang sesama kita sebagai rakyat Malaysia dan kesederhanaan atau moderation dalam apa jua yang kita lakukan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

8. Ke arah mencapai matlamat kita bersama, saya menggesa rakyat Malaysia supaya kita tidak mudah terpedaya dengan pandangan sesetengah pihak yang bersikap ekstremis. Hanya segenlintir pihak sahaja yang sentiasa mensensasikan pandangan sempit dan isu-isu yang mampu memecah belahkan kita. Tetapi, jangan kita lupa, ramai daripada kita, ataupun the silent majority, menolak sama sekali unsur-unsur negatif seperti ini. Apa yang akan menjadikan Malaysia kekal aman, kuat dan stabil bukannya segelintir kumpulan minoriti yang cuba memecahbelahkan kita, tetapi majoriti besar mereka yang melakukan segalanya adalah untuk menjamin perpaduan dan mengukukuhkan integrasi sesama kita.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

9. Sejak tahun 2009, Kerajaan telah mengambil pelbagai pendekatan yang baru dalam usaha untuk meningkatkan taraf kehidupan dan menjamin masa depan masyarakat India di negara ini. Saya akui bahawa ada banyak lagi cabaran dan masalah kaum India yang memerlukan perhatian dan intervensi Kerajaan. Oleh itu, Kerajaan akan melipat gandakan usaha untuk memastikan masa depan kaum India di negara ini terus terbela.

10. Menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Masyarakat India yang dipengerusikan oleh saya, Kerajaan akan menunaikan janji dan meneruskan usaha-usaha yang dilaksanakan sejak tahun 2009 dengan memberi keutamaan kepada bidang pendidikan, peluang pekerjaan dan perniagaan serta cabaran-cabaran semasa, termasuklah masalah dokumentasi dan masalah sosial.

11. Bajet-bajet tahunan Kerajaan juga sentiasa mengandungi inisiatif-inisiatif khas untuk kaum India. Dalam menyediakan Rancangan Malaysia ke-11 yang akan saya umumkan tidak lama lagi, Kerajaan telah mengambil kira input dan pandangan pelbagai pihak daripada komuniti India supaya program dan inisiatif ke arah membantu masyarakat India dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka turut disertakan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

12. Kerajaan juga mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh NGO-NGO komuniti India yang menggerakkan pelbagai usaha untuk membela nasib kaum India, termasuk menyuarakan pandangan dan idea yang membina kepada Kerajaan bagi kepentingan komuniti secara amnya. Sebagai sebuah Kerajaan yang bersikap terbuka dan rasional, kita telah mendengar suara NGO-NGO ini. Malahan semenjak 6 tahun kebelakangan ini, kita telah menyokong dan membantu usaha mereka dengan menyalurkan peruntukkan kewangan.

13. Sebagai contoh, sejak tahun 2010, Kerajaan telah menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Persatuan Telugu Malaysia. Kita telah memberi peruntukkan kewangan untuk penubuhan Telugu Academy di Hulu Selangor yang dijangka akan mula dibina pada bulan ini dan siap dalam masa satu setengah tahun. Apabila siap dibina, akademi ini akan menjadi pusat pembelajaran dan penyelidikan bahasa dan budaya masyarakat Telugu dengan kemudahan asrama kepada pelajar-pelajar.

14. Selain itu, usahasama Kerajaan dan Persatuan Telugu Malaysia melalui TAM Foundation telah berjaya dalam mewujudkan peluang kepada seramai 3,000 pelajar untuk mempelajari bahasa Telugu. Saya amat gembira apabila dimaklumkan bahawa daripada 3,000 pelajar ini, seramai 180 orang pelajar yang mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Telugu telah berjaya menamatkan kursus mereka dan menjadi graduan pertama dalam usaha ini. Saya berjanji Kerajaan akan terus memberi sokongan dan bantuan untuk meneruskan kesinambungan pembelajaran bahasa Telugu di Malaysia selagi ada permintaan daripada masyarakat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

15. Kita telah mencapai suatu hasil yang luar biasa dan berkesan selama 6 tahun ini kerana wujudnya kerjasama di antara Kerajaan dan komuniti India berasaskan ‘nammakam’ atau kepercayaan. Saya menyeru kepada masyarakat India untuk meneruskan dan memperkukuhkan ikatan persefahaman dan kerjasama di antara Kerajaan dan komuniti yang kita jalinkan selama ini berasaskan kepercayaan yang begitu utuh dan kuat. Kerjasama di antara kita akan terus memastikan kualiti hidup yang lebih baik untuk generasi masa kini dan yang akan datang. Jadi, janganlah kita mempersia-siakan kekuatan kita ini dan marilah kita sentiasa bersama dalam memajukan Malaysia ke arah yang lebih gemilang lagi.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

16. Semoga tahun baru ini akan memberikan satu suntikan baru kepada masyarakat Telugu untuk terus maju dalam segala aspek seperti akademik, ekonomi dan sosial. Saya mohon masyarakat Telugu untuk terus setia dan komited bersama Kerajaan pimpinan Barisan Nasional demi masa depan yang cerah bagi generasi kini dan generasi akan datang. Dengan harapan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Rumah Terbuka Ugadi 2015.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply