Blog

Majlis Perdana Ulama dan Umara 2015 dan Pelancaran Indeks Syariah Malaysia

By Tuesday February 10th, 2015 No Comments

Alhamdulillah dengan rahmat-Nya pagi ini saya telah menghadiri Majlis Perdana Ulama dan Umara 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Dalam ucapan saya di majlis tersebut, saya telah menyatakan sekali lagi bahawa para Ulama memainkan peranan penting bersama para Umara atau pemimpin dalam memastikan kita mampu menghadapi cabaran dari segi akidah dan pedoman selain memacu negara menuju matlamat serta cita-cita.

Rasululllah SAW telah bersabda bahawasanya para Ulama adalah umpama bintang di langit yang menjadi petunjuk, manakala para Umara pula bagaikan perisai tempat berlindung. Adalah penting bagi kedua-dua golongan ini bekerjasama supaya kita dapat membendung kesongsangan akidah dan pedoman yang adalah antara cabaran terbesar melanda kita pada hari ini.

Pada majlis sama, saya turut melancarkan Indeks Syariah Malaysia, sebuah indeks untuk mengukur tahap kepatuhan serta usaha dalam semua program dan dasar kerajaan adalah berasaskan kepada syariat Islam. Indeks Syariah di Malaysia adalah perintis kerana ia bersifat menyeluruh, komprehensif dan pertama seumpamanya di dunia.

Kerajaan telah lama mengamalkan konsep berteraskan Maqasid Syariah dalam semua dasar-dasar yang ditetapkan, namun sesetengah pihak beranggapan bahawa hanya kerana sesuatu itu tidak diberi nama atau dilabelkan Islam, ianya tidak mengikut syariat Islam atau tidak Islamik. Saya yakin, insya-Allah dengan pelancaran Indeks Syariah pada hari ini, tanggapan tersebut dapat diperbetulkan, selain menunjukkan keseriusan dan komitmen kerajaan untuk menepati piawai dalam semua dasar dan program kerajaan, selain mencari ruang di mana ia boleh diperbaiki dan ditambahbaik.

Juga, saya telah mengumumkan beberapa langkah penting berhubung pelaksanaan Indeks Syariah ini, antaranya menubuhkan jawatankuasa khas yang diberi nama Panel Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah yang akan memantau sepenuh masa pelaksanaannya, serta mengadakan program pencerahan dan penerangan mengenai Indeks Syariah kepada rakyat.

Jelas dalam perlembagaan kita bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, dan matlamat saya adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara mithali, sebagai pelengkap kepada cita-cita untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Insya-Allah melalui Indeks Syariah ini, kita berupaya untuk mencapai matlamat tersebut bersama.

Leave a Reply