Speeches

Majlis Perasmian Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri

By Friday March 5th, 2010 No Comments

Bismillahirrahmanirrahim

Saudara pengacara majlis,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin,
Menteri Pengajian Tinggi Malaysia dan YBhg. Datin Seri Rosni Omar,

Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim,
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan YBhg. Datin Seri Utama Maznah Rais,

Tuan Yang Terutama Duta-duta dan Pesuruhjaya Tinggi Asing di Malaysia,
Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pengajian Tinggi,

Ahli-ahli Lembaga Pengelola Universiti, Naib-naib Canselor,

Pegawai-pegawai Kanan Universiti,

Anggota Jawatankuasa Pelaksana PABM 2010,

Para Panel juri,

Para peserta Pertandingan Pidato dari seluruh dunia,

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

1. Alhamdulillah, pertamanya saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya juga kita semua dapat berada bersama-sama dalam satu majlis yang ceria pada malam ini. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi selaku hos acara atas daya usaha menyelenggarakan pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu ini bagi kali yang ke-4.

2. Sesungguhnya, saya berasa gembira kerana, jika diamati inilah satu acara seumpamanya yang melibatkan para pelajar pusat pengajian tinggi dari pelbagai bahagian dunia. Daya usaha dan kejayaan menganjurkan kegiatan sedemikian ini amat besar maknanya dalam upaya kerajaan untuk ikut serta dalam arus globalisasi semasa yang sedang direntasi.

3. Penyertaan kita dalam arus globalisasi yang saya maksudkan itu bukan bererti bahawa kita harus tenggelam dalam segala bentuk pengaruh asing, baik dalam pemikiran, ideologi, budaya mahupun teknologi, akan tetapi soalnya adalah bagaimana kita dapat menjadi pelaku aktif dan positif kepada sebahagian proses globalisasi itu.

4. Dalam hubungannya dengan kegiatan pertandingan pidato peringkat antarabangsa ini, kita berusaha mengetengahkan bahasa Melayu sebagai unsur kebudayaan dan tamadun kepada masyarakat dunia. Ini merupakan satu bentuk globalisasi budaya dan tamadun yang murni jika kita mahu memastikan bahawa fenomena globalisasi tidak semestinya bersifat sehala, yakni dari barat ke timur sahaja, tetapi sebaliknya boleh juga dari timur ke barat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

5. Justeru, saya melihat Pertandingan Pidato ini begitu bitara atau unik bukan sahaja kerana ia merupakan satu-satunya pertandingan pidato peringkat antarabangsa dalam Bahasa Melayu, tetapi juga kelebihan yang dapat kita tonjolkan melalui aspek praktikal penggunaan bahasa itu sendiri. Saya difahamkan bahawa semua urusan berkaitan penganjuran pertandingan ini dilakukan dalam Bahasa Melayu. Khabarnya lagi, segala urusan surat menyurat dan komunikasinya juga dilaksanakan dalam bahasa Melayu.

6. Alhamdulillah, hakikat ini amat membanggakan saya dan kita semua. Justeru, jika seandainya kita ingin bercakap tentang keunggulan dan mengembalikan kegemilangan Bahasa Melayu yang pernah mencapai kedudukan dominan seawal abad ke-16, maka inilah antara jalannya. Manifestasi ini juga turut menjadi bukti kukuh bahawa Bahasa Melayu bukanlah asing malah bertindak sebagai salah satu bahasa ilmu sejagat yang selayaknya.

7. Bertolak dari hal ini, kita semua perlu bekerja lebih keras bagi mempersadakan bahasa Melayu ke mata dunia. Saya pasti pendahulu-pendahulu kita yang telah pergi dan meninggalkan karya-karya agung seperti Sulatus Salatin, Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dan Tuhfatun Nafis, sekiranya mereka masih hidup akan berbahagia dan berbangga kerana kerja-kerja hebat mereka terus di harum dan dibugarkan dalam kontemporari ini.

8. Tambahan lagi, merujuk waktu dulu, pernah meluas dan membuananya penggunaan bahasa Melayu pada zaman itu dapat disamakan dengan dinamik dan dominannya bahasa Latin mahupun bahasa Perancis pada ketika yang sama, maka kini dengan perkembangan aktiviti serta dunia ICT tanpa sempadan, tiada sebabnya kita tidak mampu mengembangkan pengaruh bahasa yang indah ini ke makam yang lebih hebat.

9. Contohnya, harapan dan keyakinan ini terzahir melalui semaraknya penyertaan para peserta yang turut serta dalam pertandingan saban tahun. Ketika pertama kali dianjurkan pada tahun 2007, ia hanya disertai oleh 23 oleh buah negara sahaja.

10. Kini, syukur seperti yang kita lihat, hanya selepas empat tahun, penyertaannya telah meningkat dua kali ganda kepada lebih 50 buah negara daripada enam buah benua. Bermula dengan Piala Timbalan Perdana Menteri, selepas tiga tahun, kini diangkat menjadi Piala Perdana Menteri. Sukacita saya mendapat maklum bahawa pertandingan edisi keempat ini telah menerima penyertaan daripada enam lagi negara baru iaitu Armenia, Bulgaria, Lithuania, Turki, Kanada dan Slovakia. Syabas setingginya kepada jawatankuasa penganjur.

11. Harapan dan doa saya, agar usaha tidak terhenti setakat ini sahaja tetapi ia haruslah menjadi kerja berterusan supaya suatu hari nanti kita akan dapat menarik penyertaan lebih ramai lagi peserta dari segenap penjuru dunia. Misalannya, jika selama ini, Malaysia menjadi pelopor Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa dan sentiasa menerima penyertaan menggalakkan hingga berupaya mengangkat nama Malaysia harum ke pentas dunia, begitulah saya yakin dan percaya bahawa apa telah kita mulakan dengan pertandingan pidato dalam Bahasa Melayu ini juga satu kala kelak akan berkembang dan berjaya seperti mana Musabaqah Al-Quran tersebut.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

12. Saya mendapat maklum bahawa saudara saudari para peserta yang mengambil bahagian akan mengikuti program ‘homestay’ di Melaka bermula esok 6 hb Mac selama beberapa hari. Saya berharap saudara dan saudari akan mengambil peluang ini bukan sahaja untuk mengukuhkan pemakaian Bahasa Melayu bahkan gunakanlah kesempatan ini untuk menyelami dan menghayati budaya hidup rakyat Malaysia yang sungguh bitara. Tentu sekali juga, ambillah sepenuhnya peluang di Melaka bumi Laksamana Hang Tuah nanti untuk mendalami lagi adat dan budaya Melayu dan Malaysia secara dekat.

13. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya menyempurnakan Majlis Malam Kemuncak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2010.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Leave a Reply