BlogHousing

Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Agropolitan Pekan

By Sunday December 7th, 2014 No Comments

Dalam usaha kita menuju status negara maju, kerajaan tidak sama sekali melupakan pembangunan luar bandar, termasuk juga kepentingan Orang Asli.

Saya meluangkan masa petang semalam untuk menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Rumah Baru kepada 102 penduduk Orang Asli Program Agropolitan Pekan, Wilayah Ekonomi Pantai Timur atau ECERDC. Program ini bermatlamat untuk membasmi kemiskinan, dan Program Agropolitan Pekan di Runchang ini adalah tapak program pertama yang dilaksanakan ECERDC yang telah saya rasmikan lima tahun lalu.

Saya menegaskan bahawa pembangunan luar bandar perlu dan akan dilaksanakan secara pakej, atau holistik dan menyeluruh supaya dapat merapatkan jurang antara pembangunan bandar dan luar bandar.

Program Agropolitan Pekan ini juga adalah contoh terbaik pembangunan luar bandar secara holistik yang saya maksudkan. Selain daripada pemberian rumah, para peserta turut diberi peluang pekerjaan dengan pendapatan bulanan tetap.

Aktiviti ekonomi utama peserta Agropolitan Pekan adalah penternakan biri-biri dorper dengan pendapatan minimum sebanyak RM950, dan saya mengingatkan kepada para peserta bahawa jumlah ini mampu meningkat sekiranya mereka menggandakan usaha.

Program agropolitan ini turut dijangka akan menjadi hab penternakan biri-biri dorper terbesar di Asia Tenggara menjelang 2020 dengan anggaran ternakan berjumlah 25,000.

Pada majlis yang sama, saya turut berbesar hati mengumumkan kenaikan elaun 12 peratus kepada para peserta, menaikkan pendapatan mereka kepada RM1,024 dan juga bantuan khas RM200 untuk setiap keluarga demi membantu meringakan perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Saya juga menggesa masyarakat Orang Asli untuk memastikan anak-anak menamatkan persekolahan agar masa depan lebih terjamin, Insya-Allah.

Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Agropolitan Pekan

Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Agropolitan Pekan

Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Agropolitan Pekan

Majlis Penyerahan Kunci Rumah Program Agropolitan Pekan

Leave a Reply