Blog

Majlis Pengagihan Keuntungan EKUINAS

By Thursday November 20th, 2014 No Comments

Kepentingan Bumiputera amat dititikberatkan oleh kerajaan, dan melalui pelbagai inisiatif, kerajaan berusaha memastikan kejayaan Bumiputera dapat dipelihara dan terus berkembang maju bagi kelangsungan agenda Bumiputera. Antara inisiatif tersebut adalah penubuhan EKUINAS oleh kerajaan pada 1 September 2009 yang adalah sebahagian daripada strategi inovatif di bawah Model Baharu Ekonomi serta bertujuan menyediakan modal persendirian kepada syarikat Bumiputera.

Sebagai Pengerusi Yayasan Ekuiti Nasional Bhd (EKUINAS), saya berkesempatan menghadiri majlis Pengagihan Keuntungan EKUINAS kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra petang semalam. Dalam ucapan saya, saya gembira untuk mengumumkan bahawa agihan sebanyak RM500 juta daripada keuntungan EKUINAS akan disalurkan kepada Yayasan Pelaburan Bumiputera untuk manfaat Bumiputera yang memiliki unit amanah di Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Pemilihan PNB untuk usaha pengagihan ini pada pengamatan saya amat sesuai kerana terdapat lebih 10 juta Bumiputera kini mempunyai unit amanah yang diuruskan oleh PNB. Tambahan lagi, selaras dengan peranan PNB sebagai penaung yang bertanggungjawab memelihara dan mengembangkan ekuiti serta kekayaan kaum Bumiputera, pengagihan yang diterima tadi akan diguna pakai untuk simpanan dan pelaburan lanjutan supaya jumlah ini akan berkembang lebih besar dan dapat dinikmati pemegang unit amanah Bumiputera secara mapan dalam jangka masa panjang.

Pengagihan keuntungan EKUINAS ini turut membuktikan keberkesanan strategi kerajaan dalam usaha meningkatkan ekuiti Bumiputera melalui modal pembiayaan ekuiti swasta, dan juga mencerminkan komitmen kerajaan bagi memastikan kejayaan dasar Bumiputera dapat dikongsi bersama dengan masyarakat Bumiputera. Selain itu, inisiatif ini juga diharap dapat menggalakkan budaya melabur dalam kalangan masyarakat Bumiputera.

Berkaitan hal yang sama, saya juga gembira untuk memaklumkan bahawa EKUINAS telah berjaya mencatat pulangan membanggakan dengan catatan Pulangan Kasar Portfolio berjumlah RM655.9 juta atau sama dengan Kadar Pulangan Dalaman (IRR) kasar tahunan sebanyak 25.5% bagi tahun kewangan berakhir Disember 2013. Pencapaian ini melangkaui sasaran pulangan jangka panjang minimum 12% dan sasaran aspirasi sebanyak 20%. Kadar pulangan ini turut dijangka akan meningkat tahun ini dengan kejayaan penyenaraian syarikat Icon Offshore baru-baru ini.

Di samping itu, syarikat-syarikat portfolio EKUINAS juga telah menyediakan peluang pekerjaan kepada 201 pengurus dan 9,336 pekerja yang kebanyakan daripadanya adalah Bumiputera. Insya-Allah, inisiatif-inisiatif kerajaan seperti EKUINAS dan pelbagai lagi akan terus membantu memastikan kejayaan dan kepentingan Bumiputera sentiasa terpelihara dan terus berkembang maju di masa hadapan.

Leave a Reply