BlogHousing

Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Unit PPA1M di Bukit Jalil

By Thursday April 9th, 2015 No Comments

Saya sedia maklum bahawa perumahan adalah perkara yang amat penting bagi rakyat Malaysia. Selaras dengan itu, dalam pembentangan Bajet 2015 tahun lalu, saya telah mengumumkan pelbagai inisiatif untuk menangani isu pemilikan rumah dan mensejahterakan perkhidmatan awam, termasuk pembinaan rumah PR1MA, PPR dan inisiatif-inisiatif lain.

Kerajaan sedar akan keluh kesah rakyat, termasuk penjawat-penjawat awam yang ingin memiliki rumah sendiri dengan ruang selesa pada harga mampu milik. Sehubungan dengan itu, Kerajaan telah bersetuju untuk membina 100,000 unit Rumah Penjawat Awam 1Malaysia di seluruh negara.

Petang semalam, saya menghadiri Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Unit PPA1M Bukit Jalil, yang juga adalah projek PPA1M yang kedua setelah PPA1M Putrajaya yang dilancarkan pada bulan April 2013 lepas. Menariknya, projek PPA1M Bukit Jalil ini dibangunkan melalui kaedah ‘cross-subsidy’, ataupun subsidi berbilang dengan pihak pemaju. Sebagai contoh, sebidang tanah telah diluluskan untuk pihak pemaju. Sebahagian daripada tanah ini akan dimajukan secara komersial, dan daripada keuntungan komersial itu, pemaju akan membina rumah penjawat awam tanpa pembiayaan daripada kerajaan. Saya juga berharap agar lebih ramai lagi dari sektor swasta turut meneroka mekanisme pelaksanaan PPA1M dan projek perumahan mampu milik lain dengan kaedah subsidi berbilang.

Harga jualan Rumah PPA1M Bukit Jalil ini ditetapkan pada RM150,000 hingga RM300,000 berdasarkan keluasan antara 1,000 kaki persegi hingga 1,434 kaki persegi. Nilai sebenar rumah PPA1M ini adalah lebih kurang 2 hingga 3 kali ganda nilai jualan kepada penerima. Bagi mengelakkan berlakunya spekulasi harga rumah PPA1M, Kerajaan telah menetapkan garis panduan sekatan moratorium selama 10 tahun. Justeru, saya menggesa semua penjawat awam yang lulus permohonan PPA1M agar menyimpan dan memiliki unit rumah masing-masing serta menjaganya dengan baik.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya dalam permohonan PPA1M Bukit Jalil ini, dan kepada mereka yang tidak berjaya, jangan risau kerana Insya-Allah akan ada lebih banyak projek lagi untuk membantu rakyat termasuk penjawat awam untuk mencapai impian memiliki rumah sendiri. Kerajaan komited untuk meneruskan usaha membina lebih banyak rumah mampu milik untuk mereka yang berkelayakan.

fb2

fb3

fb4

fb1

Leave a Reply