Speeches

Majlis Pelancaran 30 Judul Buku Karya Asli Terbitan ITBM

By Tuesday July 3rd, 2012 No Comments
  1. Alhamdulillah kita dapat dipertemukan pada petang ini. Saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. atas limpah kurnia-Nya kerana mempertemukan saya dengan para karyawan Malaysia pada petang ini. Para penulis merupakan kelompok penting kepada kehidupan bernegara kerana penulis ialah suara nurani massa yang menukilkan isu-isu semasa dan menzahirkan isi hati rakyat melalui hasil kreatif mereka. Majlis ini juga menggambarkan betapa besarnya keprihatinan Kerajaan terhadap golongan para penulis dan karyawan. Majlis ini juga dapat menjadikan Seri Perdana ini sebagai kediaman yang menyumbang kepada pembangunan keilmuan dan karyawan bagi rakyat negara Malaysia ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

  1. Sekiranya pagi tadi saya telah melancarkan penyenaraian IHH iaitu sebuah konglomerat pemberi perkhidmatan dalam bidang kesihatan yang kedua terbesar di dunia yang dimiliki sebahagian besarnya oleh Khazanah Nasional. Dan sekiranya itu merupakan bab untuk memperkasakan ekonomi negara dan menjana kekayaan baru maka pada petang ini kita mengimbanginya dengan pelancaran 30 judul karya asli terbitan yang merupakan sajian kepada roh dan minda manusia.
  2. Saya difahamkan, majlis ini bukan sahaja dihadiri penulis yang merupakan empunya karya 30 judul ini, tetapi turut mengundang penulis-penulis yang karya mereka akan diterbitkan dalam masa terdekat ini oleh ITBM. Tambahan pula, setelah saya meluluskan dana sebanyak RM5 juta kepada ITBM untuk menerbit karya-karya asli untuk penulis dan saya difahamkan pembayaran royaltinya dibayar lebih awal daripada biasa dan itu merupakan satu langkah yang amat baik.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

  1.  Saya masih ingat lagi semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Penulis Nasional Malaysia pada 16 Disember 2011 yang lalu, saya ada menyatakan bahawa setiap buku yang diterbitkan oleh ITBM dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia atau PENA dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad atau PNMB perlu terbit dalam tempoh masa tiga hingga enam bulan selepas manuskrip diterima daripada penulis. Saya menyatakan perkara ini merupakan KPI yang perlu dilaksanakan oleh ITBM sebagai tanggungjawab baharu selepas diumumkan penambahan mandat untuk menerbitkan karya asli selain melakukan tugasan penterjemahan.
  2. Ternyata ITBM yang merupakan salah sebuah syarikat berkaitan Kerajaan atau GLC telah menunjukkan kesungguhan bagi memastikan KPI yang ditetapkan tersebut berjaya dilaksanakan. Jika saya nyatakan sebelum ini 10 judul perlu diterbitkan bermula Jun 2012, saya dimaklumkan bahawa ITBM telah jauh melangkaui sasaran dengan berjaya menerbitkan 30 judul buku dalam pelbagai bidang antaranya sastera, umum dan pendidikan. Saya mengucapkan syabas atas kejayaan ini kepada seluruh warga ITBM dan setiap individu yang terlibat dalam memastikan apa yang direncanakan oleh Kerajaan ini dapat direalisasikan.
  3. Pada petang ini, pada hari ini, pada kala dan ketika ini kita mampu berkumpul bagi meraikan kreativiti guna menjamu nurani dan minda kerana negara Malaysia ialah sebuah negara yang berjaya, stabil dan makmur. Dalam masa negara luar khususnya negara Islam sedang bergolak keadaan politiknya, rakyat Malaysia masih dirahmati keamanan dan kebebasan untuk berfikir serta mengembangkan kegiatan intelektual dan ilmiah. Di bumi bertuah ini, para penulis tidak pernah mengalami situasi yang berlaku terhadap Ibnu Rusydi yang dibakar karyanya oleh penguasa Islam di Sepanyol suatu ketika dahulu.
  4. Kita wajar mengambil iktibar bagaimana Baghdad, Cordoba, Qairuwan, Bashrah dan Kufah pada masa kegemilangan Islam dahulu ibarat lautan ilmu pengetahuan di mana penduduknya mendalami serta mentelaah pelbagai seni pengajaran sehinggakan mereka mengungguli orang terdahulu dan melampaui orang terkemudian. Namun seribu kali sayang – oleh sebab kealpaan yang berlaku, permaidani yang menghiasai lantai pun tergulung, ilmu pun hilang lenyap bahkan kota Islam pun berpindah.
  5. Janganlah kita biarkan perkara yang sama berlaku di bumi tercinta ini. Namun jika kita berpeluk tubuh dan hanya membiarkan fitnah mengatasi kebenaran, yang batil menggerhanakan yang hak, sangkaan mengatasi ilmu pengetahuan serta kepalsuan mengorbankan kebenaran, maka janganlah pelik dan hairan jika kita kelak menjadi bangsa yang hanya mampu menangisi apa yang kita telah hilang hari ini. Kita tidak mahu situasi tersebut berlaku terhadap diri kita semua. Walaupun Allahyarham Hamka pernah menyatakan, “sejarah tidak mungkin berulang, tetapi beringatlah bahawa sikap manusia pasti berulang”.

Tuan-tuan dan Puan-Puan,

  1. Para penulis tempatan perlu memperluaskan tasawur mereka dengan menerokai dunia luar untuk menimba ilmu yang difikirkan boleh dikongsikan bersama-sama khalayak di Malaysia. Selain mencatat kehebatan kesusasteraan dan perbukuan di luar sana, penulis sewajarnya mengambil iktibar dari tokoh pembaharuan umat Jamaluddin al-Afghani semasa pengembaraan beliau ke banyak negara sama ada negara Islam ataupun bukan Islam; dari Hijaz, Mesir, Yemen, Turki, Rusia, Britain hinggalah ke Perancis dan lain-lain negara. Melalui hasil pengembaraannya itu, al-Afghani banyak menunjukkan jalan kepada seluruh umat tentang kaedah menghadapi arus modenisasi dunia ini melalui berfikir secara rasional dan bebas. Karya tulisannya tetap mempunyai nilai besar pada zaman moden ini.
  2. Dengan melihat dan membandingkan negara luar dengan negara kita akan menjadikan kita manusia yang lebih bersyukur. Biasanya kita tidak menyedari betapa bertuahnya kita selain kita berpengalaman merasai suasana yang jauh lebih susah dan mundur. Apabila kita sudah biasa dengan keselesaan dan kemewahan kita akan menyangka bahawa semua negara mempunyai situasi yang sama.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

  1. Kerajaan amat menghargai peranan yang dimainkan oleh para penulis di dalam perjalanan nasional ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Kemajuan dan pembangunan sesebuah negara tidak dapat diukur melalui pendapatan per kapita, kadar pertumbuhan ekonomi dan jumlah eksport semata-mata. Ia juga harus diukur daripada hasil kreativiti dan inovasi masyarakatnya yang dicerminkan daripada hasil penulisan.
  2. Kita akan sentiasa memberikan ruang yang secukupnya kepada para penulis untuk berkarya. Kita akan membantu golongan penulis terutamanya generasi muda untuk memperkembangkan bakat mereka. Marilah kita bersama-sama membangunkan negara yang tercinta ini.
  3. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah kepada semua penulis untuk 30 judul buku karya asli terbitan ITBM yang diraikan penerbitannya pada hari ini. Kepada ITBM, PENA dan PNMB, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas usaha keras ketiga-tiga organisasi ini sehingga mampu merealisasikan penerbitan buku yang berkualiti tinggi daripada segi isi kandungan dan rupa wajahnya. Semoga apa yang dilakukan ini dapat mengukuhkan budaya ilmu dan adab dalam kalangan masyarakat Malaysia melalui pembacaan buku – kerana ilmu tanpa adab umpama api tanpa kayu api, begitu juga adab tanpa ilmu umpama roh tanpa jasad. Semoga usaha baik ini dapat diberikan apresiasi atau penghormatan yang sewajarnya oleh semua pihak. Dengan berkat kalimahBismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan 30 judul karya asli terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sekian, terima kasih.

Leave a Reply