News_archive

Little India Melaka Ceria Dengan Tinjauan Mesra Najib

By Thursday February 23rd, 2012 No Comments

MELAKA, 24 Feb (Bernama) — Little India, nama diberikan kepada deretan rumah kedai di Jalan Bendahara dan Jalan Temenggong di sini, menjadi tempat bagi masyarakat India menjalankan perniagaan sejak lebih 100 tahun lepas.

Keceriaan Little India hasil daripada alunan muzik kaum India dan warna-warni barangan dijual di kedai sepanjang lokasi tersebut, memberikan satu identiti unik yang turut menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Keceriaan itu bertambah hari ini dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melakukan tinjauan mesra selama sejam di Little India, Jalan Bunga Raya dan Jalan Kee Ann.

Najib tiba di lokasi itu kira-kira 5.30 petang bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan disambut Pengerusi MIC Melaka Datuk R.Perumal dan Pengerusi MCA Melaka Datuk Gan Tian Loo.

Ketibaan Najib di Jalan Bendahara disambut alunan gendang dan tarian tradisional masyarakat India. Sejurus tiba, Najib terus beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai di situ.

Najib kemudian menyampaikan ucapan ringkas di pentas kecil di persimpangan Jalan Bendahara dan Jalan Bunga Raya sebelum meneruskan perjalanan menyusuri Jalan Bunga Raya menggunakan beca dengan diiringi paluan kompang, tarian singa dan naga.

Beliau turut singgah di sebuah kedai makan dan sempat menikmati air batu campur bersama rakyat di kedai itu sambil beramah mesra dengan mereka. Selepas itu, beliau meneruskan perjalanan ke Jalan Kee Ann dan menghadiri Majlis Minum Petang Bersama Pemimpin yang diadakan di situ.

Najib sempat berucap dan menyatakan rasa terima kasih kepada penduduk negeri Melaka yang menyokong Barisan Nasional (BN)selama ini.

Selepas Perdana Menteri mengakhiri ucapan beliau, hadirin melaungkan “1Malaysia” dan “Hidup Barisan Nasional” sebelum orang ramai berpusu-pusu mendekati pemimpin nombor satu negara untuk bersalaman.

Sementara itu, pelancong wanita dari England, Erin Albright, 47, berkata sukar untuk menemui seorang Perdana Menteri seperti Najib yang amat mesra dengan rakyat.

“Amat jarang sekali seorang pemimpin Nombor Satu sesebuah negara pergi ke jalanan dan bertemu orang biasa, berbual dengan mereka dan mengambil tahu akan masalah mereka. Anda patut berbangga mempunyai seorang Perdana Menteri yang hebat seperti ini,” katanya.

Pengayuh beca yang membawa Najib sepanjang tinjauan mesra itu, Ramli Ismail, 40, berkata membawa Perdana Menteri adalah kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang lebih 20 tahun mengayuh beca.

Sumber : Bernama

Leave a Reply