News_archive

LIMA ’11 Dibuka Rasmi Selasa

By Monday December 5th, 2011 No Comments

LANGKAWI, 5 Dis (Bernama) — Pameran pertahanan perdana Malaysia, Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA ’11) siap sedia untuk membuka tirai pada Selasa, bagi menarik minat peserta dari serata dunia.

Kontraktor-kontraktor bersama pekerja mereka dilihat sibuk menyiapkan gerai-gerai di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) untuk acara 6-10 Dis itu.

Wakil-wakil media tempatan dan antarabangsa yang meliputi acara itu dibawa melawat MIEC dan Awana Porto Malai, venue bagi segmen maritim LIMA.

Jet-jet pejuang melintas laju di ruang angkasa Langkawi melakukan latihan, dan dalam proses itu membingitkan telinga.

LIMA ’11 dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kehadiran timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Qatar Sheikh Hamad Bin Jassim Bin Jabr Al Thani dan para kenamaan lain.

Penganjur berkata 403 pempamer akan hadir di LIMA ’11 – 178 syarikat tempatan dan 225 syarikat asing dari 34 negara.

Peserta utama termasuk Boeing and Sikorsky Aircraft Corporation dari Amerika Syarikat; BAE Systems, Britain; Agusta Westland, Itali; Dassault Aviation and Eurocopter Group, Perancis; Sukhoi Aviation Holding Company, Russia; dan Navantia, Sepanyol.

Peserta tempatan terbesar ialah National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd (NADI) dengan keluasan ruang pameran 737 meter persegi.

Lima belas negara termasuk Australia, Perancis, Turki, AS, Britain, Jerman dan India telah menubuhkan astaka masing-masing, terbesar milik Russia, seluas 378 meter persegi.

Tarikan tambahan yang ditunggu-tunggu ialah pertunjukan aerobatik profesional 1Malaysia dipanggil “Krisakti” yang menggunakan pesawat berkipas Extra 300L buatan Jerman.

Sejumlah 65 pesawat dan 59 kapal diketengahkan pada pameran itu.

Acara itu akan dipenuhi dengan persidangan, forum dan bengkel serta pertunjukan udara dan maritim harian, karnival pelancongan dan program Hari Kerjaya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply