News_archive

Liberalisasi kewangan diumum Isnin

By Saturday April 25th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 24 April – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan mengumumkan liberalisasi melibatkan sektor kewangan Isnin ini.

Antara aspek utama liberalisasi dalam sektor kewangan itu ialah kemungkinan peningkatan pemilikan asing dalam sektor perbankan.

Ini akan menjadi pengumuman utama kedua mengenai liberalisasi ekonomi berikutan langkah liberalisasi 27 sub-sektor perkhidmatan yang telah diumumkan beliau pada Rabu.

“Boleh tak tunggu sehingga Isnin, saya akan membuat satu pengumuman penuh mengenai sektor kewangan,” katanya yang juga Menteri Kewangan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Langkah mengumumkan sektor perkhidmatan sebelum ini telah disambut baik oleh komuniti perniagaan tempatan dan asing kerana ia mewujudkan satu iklim perniagaan yang kondusif di negara ini dan menjadikan ekonomi lebih kompetitif di pentas dunia.

Dalam pada itu, beliau ketika ditanya dakwaan sempadan Malaysia-Thailand dijadikan pusat penyeludupan manusia, Najib berkata, kerajaan bersedia untuk mengambil langkah tegas membanteras kegiatan itu.

Beliau bagaimanapun berharap pihak berkuasa Amerika Syarikat dapat mengemukakan lebih banyak bukti dan fakta berhubung dakwaan itu.

Sumber : Utusan

Leave a Reply