News_archive

Lebih Banyak Sesi Perjumpaan Mari Berjumpa, Mari Berhubung Dirancang

By Sunday April 3rd, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata banyak lagi perjumpaan beliau dengan rakan online, atau dikenali sebagai sesi “Mari Berjumpa, Mari Berhubung”, akan diumumkan tidak lama lagi.

Katanya beliau dapat merasakan sesuatu yang amat istimewa apabila akhirnya dapat bertemu sendiri dengan mereka yang berhubung dengannya menerusi laman sosial Facebook dan Twitter.

“Perjumpaan itu membolehkan saya melihat sendiri diri anda sebagai individu, dan bukannya semata-mata melihat gambar profil,” kata beliau yang dipetik dari posting terbaru beliau menerusi laman web www.1malaysia.com.

Katanya sehingga kini beliau dapat bertemu dengan beratus-ratus rakan online dalam tiga sesi “Mari Berjumpa, Mari Berhubung”.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada mereka yang datang untuk sesi perjumpaan itu, dan saya rasa amat terharu dengan sambutan baik yang diberikan kepada saya dalam sesi yang berlangsung di Kuching, Kluang, dan Bayan Lepas sebelum ini. Saya benar-benar sukakan perjumpaan ini dan tidak sabar-sabar menantikan ketibaan sesi akan datang,” katanya.

Najib berkata beliau sentiasa percaya bahawa setiap pemimpin perlu bergerak mengikut arus perkembangan semasa.

“Sejak saya mengambil alih pentadbiran, saya menggunakan platform perhubungan yang benar-benar berkesan – online mahupun sebaliknya – untuk berinteraksi dengan rakyat, untuk berbincang mengenai isu-isu di peringkat akar umbi, dan isu yang berada dalam sanubari anda,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau memutuskan untuk menganjur perjumpaan di luar Putrajaya dan Kuala Lumpur selepas menerima banyak permohonan daripada rakan online dari seluruh negara.

“Sejak tiga minggu lepas, saya menghabiskan hari Sabtu saya dengan melawat kawasan-kawasan di Sarawak, Johor, dan Pulau Pinang untuk bertemu rakyat.

Najib seterusnya menggesa rakan online beliau untuk mendaftar bagi mengikuti sesi perjumpaan “Mari Berjumpa, Mari Berhubung” sekiranya mereka berhasrat untuk meneruskan interaksi mereka ke tahap selanjutnya.

“Jika anda ‘sukakan’ laman Facebook saya dan berhasrat membawa hubungan online interaktif ini ke peringkat seterusnya, berdaftarlah dengan Mari Berjumpa, Mari Berhubung. Seperti yang saya jelaskan dalam sesi baru-baru ini, jika anda tidak dapat datang kepada saya, saya pula yang akan cuba untuk datang kepada anda,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply