News_archive

Lebih 14,000 Ketua Isi Rumah Orang Asli Sudah Terima BR1M – Hasan

By Friday January 20th, 2012 No Comments

KUALA PILAH, 20 Jan (Bernama) — Sebanyak 14,090 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli di seluruh negara telah menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang membabitkan peruntukan keseluruhan lebih RM7 juta.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek berkata jumlah itu hanya membabitkan pengagihan fasa pertama dan dijangka lebih ramai ketua isi rumah Orang Asli akan menerima bantuan itu bagi fasa seterusnya.

“Jumlah ini berdasarkan rekod yang diselaraskan Jabatan Kemajuan Orang Asli. Ia tidak termasuk ketua isi rumah yang menghantar permohonan sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan BR1M bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, di Tanjung Ipoh, di sini Jumaat.

Hasan berkata jumlah itu juga jelas menunjukkan masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan daripada menerima bantuan sebanyak RM500 itu yang telah mula diagihkan sejak Ahad lepas.

“Tidak ada pengecualian, tidak ada sesiapa yang kita ketepikan atau pinggirkan…semua rakyat Malaysia sama ada Orang Asli, Bidayuh atau Iban semua boleh mohon dan mendapat bantuan ini,” katanya.

Sementara itu bagi daerah Kuala Pilah, Hasan berkata sebanyak 7,936 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, sebanyak 7,446 ketua isi rumah akan menerima bantuan BR1M membabitkan peruntukkan RM7.3 juta.

Di SANDAKAN, Anggota DUN kawasan Sekong Datuk Samsuddin Yahya berkata penyerahan wang bantuan BR1M untuk penerima yang tinggal jauh di luar bandar akan dilakukan di kampung mereka.

Beliau berkata pendekatan itu diambil supaya tidak menyusahkan penerima bantuan itu dari segi kewangan untuk ke majlis penyampaian.

“Bagi DUN Sekong, kebanyakan penerima tinggal di kawasan pulau dan mereka tidak akan dibebankan untuk datang mengambil bantuan itu. Penyerahan BR1M itu akan dilakukan di kampung mereka dan ia juga bagi memastikan tiada penerima yang layak tercicir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian BR1M bagi DUN Sekong dan Karamunting di sini hari ini. Pada majlis itu seramai 563 orang menerima bantuan itu.

Di KOTA KINABALU, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin meminta rakyat memanfaatkan sepenuhnya bantuan BR1M diberikan oleh kerajaan dengan membeli barangan keperluan asas.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri dalam kenyataan hari ini berkata wang itu juga boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan anak-anak yang bersekolah.

Beliau berkata pemberian bantuan itu membuktikan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut memberikan bantuan kepada rakyat dalam bentuk subsidi seperti minyak masak, beras, gula, gas dan tepung.

Sumber : Bernama

Leave a Reply